backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Apa Itu Kanser Hati: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 14/06/2023

Apa Itu Kanser Hati: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Hati, sila dapatkannya di sini.

Apa itu kanser hati (atau barah hati)?

Kanser hati adalah sejenis barah pada organ hati. 

Organ tersebut mempunyai fungsi yang penting bagi memastikan badan bebas daripada toksin dan bahan yang berbahaya.

Hati terletak pada bahagian kanan atas abdomen dan di bawah tulang rusuk kanan. 

Selain daripada menyahtoksikkan bahan kimia dan ubat yang masuk ke dalam badan, ia juga:

  • Menyimpan glukosa berlebihan dalam bentuk glikogen untuk kegunaan kelak.
  • Menghasilkan hempedu untuk menghadam lemak, vitamin dan nutrisi penting yang lain.
  • Menghasilkan kolesterol dan protein khusus untuk membawa lemak ke seluruh badan.
  • Menyimpan zat besi untuk penghasilan haemoglobin (komponen sel darah merah).
  • Mengawal atur proses pembekuan darah.
  • Menghasilkan molekul imuniti bagi menghalang jangkitan daripada berlaku.
  • Memastikan sisa bahan hasil daripada kematian sel merah (bilirubin) dikumuhkan dengan baik.
  • Barah hati merupakan kanser keenam terlazim di dunia, dengan jumlah kes baharu melebihi 800,000 pada tahun 2018.

    Insidennya berbeza mengikut faktor demografi dan lokaliti. 

    Jenis kanser hati

    Secara amnya, kanser hati boleh dikategorikan kepada kanser primer dan sekunder. 

    Barah hati primer didiagnosis apabila punca kanser tersebut berasal daripada organ hati.

    Barah hati sekunder pula adalah sel kanser daripada organ lain yang merebak ke organ hati.

    Oleh sebab sel kanser tidak mempunyai integriti yang sama dengan sel normal, ia boleh berpindah ke lokasi lain melalui sistem peredaran darah dan limfa. Fenomena ini dikenali sebagai metastasis.

    Seperti kanser lain, kanser hati juga mempunyai keupayaan untuk mengalami metastasis apabila ia sudah mencapai tahap yang sangat teruk.

    Ada berapa jenis kanser primer?

    Pengelasan kanser hati dibuat berdasarkan kepada lokasi dan jenis sel pada organ hati.

    Ia boleh bermula dengan ketumbuhan kecil pada satu lokasi atau pada banyak tempat. 

    Antara jenis barah hati primer yang lazim didiagnosis adalah seperti berikut:

    Karsinoma hepatoselular (HCC)

    Sub kanser hati ini turut dikenali sebagai hepatoma. Ia merupakan barah hati primer terlazim didiagnosis di seluruh dunia.

    Kanser ini berlaku pada sel hati utama yang dikenali sebagai hepatosit.

    HCC mudah berlaku kepada mereka yang mengalami kerosakan hati akibat daripada pengambilan alkohol berlebihan atau jangkitan virus.

    Ia berupaya untuk merebak kepada organ seperti pankreas, usus dan perut.

    Cholangiocarcinoma 

    Kanser saluran hempedu atau cholangiocarcinoma berasal daripada saluran kecil yang membawa hempedu keluar daripada pundi hempedu.

    Kira-kira 10 hingga 20 peratus pesakit kanser didiagnosis dengan masalah ini.

    Oleh sebab saluran hempedu mempunyai dua bahagian, satu di dalam hati dan satu di luar hati, diagnosis mengambil kira faktor lokaliti tersebut.

    Angiosarcoma hati

    Seperti namanya (angio – salur darah, sarcoma – kanser pada tisu lembut), sub jenis kanser ini merupakan barah yang berlaku pada saluran darah organ hati.

    Berbeza dengan jenis kanser hati primer yang lain, proses patologi kanser ini berlaku pada kadar yang sangat cepat.

    Pesakit biasanya didiagnosis pada tahap yang lewat.

    Hepatoblastoma

    Hepatoblastoma didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak yang berusia di bawah 3 tahun.

    Ia merupakan satu bentuk kanser yang paling jarang jika dibandingkan dengan sub jenis kanser primer yang lain.

    Jika didiagnosis pada peringkat awal, pesakit mempunyai peluang untuk hidup yang sangat tinggi.

    Kanser hati sekunder 

    Barah hati sekunder merupakan masalah kanser yang berpunca daripada organ lain sebelum ia merebak ke organ terlibat.

    Sebagai contoh, masalah barah berpunca daripada kanser lain seperti kanser payudara, kanser perut atau kanser usus.

    Apabila ia sampai ke tahap yang menyebabkan sel kanser merebak ke organ lain, maka organ hati boleh turut terkesan sama.

    Masalah kesihatan ini diberi nama berdasarkan kepada sumber asal sel kanser.

    Sebagai contoh, sel kanser payudara yang merebak ke organ hati turut dikenali sebagai kanser payudara metastatik.

    Baca juga 

    Ambil Tahu Tentang Tanda-Tanda Kanser Hati 

    Punca Dan Faktor Risiko Kanser Hati

    Simptom kanser hati

    kanser

    Pada peringkat awal, penghidap kebiasaannya tidak menunjukkan sebarang simptom.

    Apabila keadaan sudah menjadi semakin teruk, mereka boleh mengalami gejala seperti:

    1. Sakit pada bahagian abdomen kanan
    2. Jaundis atau masalah kuning pada bahagian kulit dan putih mata
    3. Loya
    4. Muntah
    5. Turun berat badan mendadak tanpa sebarang diet atau percubaan.
    6. Lebam dan mudah mengalami pendarahan
    7. Lemah badan
    8. Lesu

    Bukan semua penghidap barah hati akan mengalami gejala yang tersenarai di atas.

    Kebanyakan individu akan mengalami simptom umum, iaitu gejala yang turut dimanifestasikan dalam proses penyakit yang lain.

    Maka, masalah ini tidak boleh didiagnosis sewenang-wenangnya tanpa pemeriksaan doktor perubatan.

    Punca kanser hati

    Siapa yang berisiko untuk menghidap kanser?

    Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan kecenderungan anda untuk didiagnosis dengan masalah kesihatan ini.

    • Jangkitan kronik oleh virus hepatitis B atau hepatitis C.
    • Sirhosis hati. Ini merupakan keadaan kesihatan yang menyebabkan terbentuknya tisu parut akibat kerosakan kronik pada organ hati.
    • Masalah genetik berkaitan dengan organ hati. Antaranya adalah penyakit Wilson dan hemokromatosis.
    • Penyakit hati berlemak bukan alkohol boleh menyebabkan kerosakan pada organ hati sekaligus meningkatkan risiko kanser.
    • Masalah kencing manis dan obesiti. Risiko bagi mereka yang mempunyai masalah berkaitan dengan metabolisme glukosa untuk mendapat kanser hati adalah lebih tinggi berbanding dengan individu sihat.
    • Pendedahan kepada aflatoksin, racun yang dirembeskan oleh kulat yang tumbuh pada tanaman yang tidak disimpan dengan baik. Produk makanan yang mengandungi kekacang dan bijian boleh dicemari dengan aflatoksin.
    • Pengambilan alkohol secara berlebihan. Mereka yang mengambil minuman beralkohol melebihi jumlah saranan dalam satu tempoh yang panjang boleh menyebabkan kerosakan hati. 

    Langkah pencegahan kanser hati

    Tiada cara mutlak yang dapat menghindarkan mana-mana individu daripada didiagnosis dengan masalah kanser ini.

    Walau bagaimanapun, risikonya boleh dikurangkan melalui beberapa langkah pencegahan seperti berikut:

    1. Pastikan anda mendapatkan vaksin hepatitis B.
    2. Amalan seks selamat dengan menggunakan kondom untuk menghindarkan jangkitan kelamin yang boleh menyebabkan kanser hati seperti virus hepatitis.
    3. Elakkan daripada menggunakan dadah terlarang terutamanya yang melibatkan suntikan.
    4. Berhati-hati jika anda ingin membuat sebarang bentuk tatu atau menindik badan. Pastikan pemilik kedai menggunakan jarum yang steril (bebas mikroorganisma) baharu.
    5. Kurangkan pengambilan alkohol. Jika sukar atau anda mengalami simptom penarikan seperti pening, loya, muntah atau tangan menggigil, dapatkan bantuan profesional.
    6. Amalkan gaya hidup sihat bagi menghindarkan masalah diabetes dan obesiti. Ambil makanan berkhasiat, bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dan tidur secukupnya. Anda mungkin perlu mendapatkan bantuan pakar pemakanan sekiranya sukar untuk mengawal berat badan.

    Bila anda perlu berjumpa dengan doktor?

    Walaupun simptom kanser hati agak umum, faktor tersebutlah yang kebiasaannya mendorong pesakit untuk berjumpa dengan doktor.

    Sekiranya anda mempunyai faktor risiko, lebih wajar buat anda untuk lebih berhati-hati dan hadir ke klinik bagi menjalani pemeriksaan jika mengalami simptom.

    Seperti masalah kesihatan lain, diagnosis kanser dibuat secara teliti dan sistematik.

    Ia bermula dengan pengambilan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal oleh doktor perubatan, ujian makmal dan diagnosis.

    Sejarah kesihatan seperti jangkitan virus hepatitis B atau C dan pengambilan alkohol melebihi had saranan untuk satu tempoh masa yang lama penting bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.

    Apabila selesai pemeriksaan fizikal, ujian dan prosedur diagnostik bagi kanser hati akan dijalankan.

    Antaranya seperti:

    1. Ujian fungsi hati
    2. Ukuran alfa-fetoprotein
    3. Ujian imbasan CT atau MRI
    4. Biopsi tisu hati

    Jika anda disahkan menghidap kanser hati, rawatan akan diberi berdasarkan kepada tahap kanser yang dialami.

    Antara faktor yang menentukan jenis rawatan adalah seperti berikut:

    1. Jumlah, saiz dan lokasi tumor pada organ hati
    2. Tahap fungsi hati
    3. Masalah sirhosis hati jika ada
    4. Metastasis (kanser merebak ke organ lain) jika ada

    Kaedah utama dalam rawatan kanser hati adalah pembedahan.

    Namun bagi mereka yang tidak boleh menjalani prosedur tersebut disebabkan oleh faktor tertentu (tahap kanser, usia), terapi radio dan kemo boleh dijalankan. 

    Hidup dengan kanser hati

    barah

    Penerimaan pesakit terhadap diagnosis kanser bergantung kepada faktor-faktor seperti sokongan sosial, kemudahan rawatan dan prognosis penyakit.

    Kemajuan teknologi perubatan berupaya untuk meningkatkan peluang penghidap kanser untuk hidup lebih lama.

    Oleh yang demikian, penting bagi setiap pesakit untuk mempraktikkan kaedah kawalan stres yang betul supaya kesihatan mental terjaga.

    Penyertaan pesakit dalam kumpulan sokongan boleh membantu mereka untuk menguruskan emosi dan kepentingan sosial masing-masing.

    Perkongsian maklumat dan kata-kata semangat boleh mempengaruhi tahap kesanggupan pesakit untuk terus mendapatkan rawatan.

    Individu yang mengalami masalah kemurungan perlu mendapatkan rawatan profesional supaya mereka tidak terbeban dengan masalah kesihatan mental.

    Penglibatan keluarga dalam pengurusan kanser boleh memberikan impak yang sangat besar terhadap tahap motivasi dan kecenderungan pesakit terhadap sesuatu pelan rawatan.

    Mungkin nampak mudah, namun hakikatnya dalam menempuhi diagnosis kanser, penghidap memerlukan sokongan sosial daripada banyak pihak bagi menjamin kualiti hidup yang lebih bermutu.

    Jika anda berasa tertekan dengan diagnosis masalah kanser ini, dapatkan bantuan profesional (doktor, ahli terapi, ahli kaunseling atau ahli psikologi).

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 14/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan