backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Penyakit Jangkitan Saluran Kencing (UTI): Ini Tanda, Punca & Rawatan Anda Perlu Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 30/01/2024

Penyakit Jangkitan Saluran Kencing (UTI): Ini Tanda, Punca & Rawatan Anda Perlu Tahu

Jangkitan saluran kencing (urinary tract infection – UTI) atau dikenali juga dengan nama penyakit air kencing kotor merupakan sejenis jangkitan yang boleh menyebabkan rasa ketidakselesaan pada kawasan alat sulit.

Setiap tahun, kencing kotor merangkumi hampir 8.1 juta lawatan ke hospital atau klinik di seluruh dunia. Hampir 60% wanita dan 12% lelaki berisiko untuk menghidap penyakit UTI sekali seumur hidup.

Kencing kotor berlaku pada saluran air kencing. Saluran ini meliputi bahagian buah pinggang, pundi kencing dan juga uretra.

Darah di dalam badan manusia akan melalui proses penapisan di bahagian buah pinggang. Segala bahan buangan akan ditapis dan disimpan di dalam pundi kencing sebagai urin. 

Uretra pula ialah saluran yang bertanggungjawab untuk membuang urin daripada pundi kencing keluar daripada badan.

Sebelum meneruskan pembacaan, mari kita kenali apakah jangkitan salur kencing dengan lebih mendalam dan simptom-simptom air kencing kotor. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Jangkitan Saluran kencing, sila dapatkannya di sini.

Apa itu jangkitan saluran kencing?

Jangkitan saluran kencing atau penyakit kencing kotor merupakan sejenis jangkitan yang berlaku di dalam sistem urinari. Ia boleh berlaku pada mana-mana bahagian termasuklah pada uretra, ureter, pundi kencing dan juga buah pinggang.

Antara simptom UTI yang lazim ialah rasa sakit ketika membuang air kecil, kerap pergi ke tandas dan juga rasa sakit pada bahagian pelvis.

Berbanding lelaki, wanita lebih berisiko untuk dijangkiti penyakit UTI. Malah, 1 daripada 2 wanita mempunyai risiko untuk dijangkiti UTI sekali seumur hidup. 

Hampir 90% kes infeksi pada bahagian buah pinggang adalah disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai E. coli. Bakteria ini selalunya dapat dijumpai di dalam usus manusia.

Adakah kencing kotor sakit?

Jangkitan saluran kencing selalunya akan membuatkan pesakit rasa sakit dan tidak selesa. Oleh sebab itu, mencegah UTI adalah lebih baik daripada mengubati.

Simptom penyakit kencing kotor

air kencing kotor
Antara simptom-simptom anda alami kencing kotor.

Kadangkala, penyakit kencing kotor tidak akan menunjukkan sebarang simptom. Namun, antara simptom yang lazim adalah:

1. Rasa sakit ketika membuang air kecil.

Individu yang mempunyai jangkitan saluran kencing akan alami iritasi pada kawasan pundi kencing dan juga uretra.  Iritiasi ini akan menyebabkan bahagian bawah abdomen rasa sakit ketika membuang air kecil.

2. Air kencing kotor berwarna keruh, coklat atau berdarah

Selain rasa sakit, jangkitan bakteria yang disebabkan oleh UTI akan membuatkan air kencing kotor berwarna keruh, coklat ataupun berdarah.

Kadangkala, pesakit akan alami masalah urin berbau busuk pada masa yang sama.

3. Perlu ke tandas berulang kali

Selain itu, pesakit juga mungkin perlu ke tandas berulang kali untuk membuang air kecil. Walaupun rasa terdesak untuk kencing, pesakit pada akhirnya hanya akan membuang air kecil dalam jumlah yang sedikit.

4. Rasa sakit pada bahagian belakang atau bawah abdomen

Jangkitan saluran kencing akan menyebabkan pesakit demam dan alami sakit belakang. Selain itu, jangkitan juga akan menyebabkan rasa loya dan muntah-muntah.

Pesakit yang alami penyakit kencing kotor perlu dirawat dengan segera kerana jangkitan tersebut boleh merebak ke bahagian buah pinggang.

Jika ini berlaku, jangkitan tersebut akan merebak pula melalui salur darah dan mungkin mengakibatkan kondisi yang boleh mengancam nyawa.

Jenis-jenis jangkitan saluran kencing

Setiap jenis penyakit UTI atau air kencing kotor mempunyai tanda dan simptom yang berbeza, bergantung kepada bahagian apa yang terkesan dengan jangkitan. Sebagai contoh:

1. Cystitis (pundi kencing)

Pundi kencing pesakit yang alami cystitis akibat penyakit kencing kotor akan rasa sakit kerana mula membengkak dan mengalami iritasi. 

Akibatnya, pesakit akan rasa sakit ketika membuang air kecil. Mereka juga perlu ke tandas dengan kerap.

Antara simptom cystitis adalah:

  • Sakit pada bahagian pelvis
  • Sakit di sekitar bawah abdomen
  • Rasa sakit, pedih ketika membuang air
  • Darah di dalam air kencing kotor

2. Acute pyelonephritis (buah pinggang)

Acute pyelonephritis berlaku apabila bakteria atau virus menjangkiti salah satu atau kedua-dua buah pinggang pesakit. 

Jika individu tersebut pernah diserang penyakit kencing kotor, pundi kencing akan dijangkiti terlebih dahulu sebelum ia sampai ke bahagian buah pinggang

Apabila jangkitan telah sampai ke bahagian buah pinggang, kondisi ini boleh membawa maut jika ia tidak dirawat secepat mungkin. 

Antara simptom acute pyelonephritis:

  • Sakit pada sisi badan
  • Demam bersuhu tinggi
  • Menggeletar dan rasa sejuk
  • Mual
  • Muntah-muntah

3. Urethritis (uretra)

Urethritis merupakan sejenis inflamasi yang berlaku pada kawasan ureta. Jangkitan ini akan membuatkan pesakit rasa pedih ketika membuang air kecil.

Antara simptom urethritis adalah:

  • Sakit ketika membuang air kecil
  • Keluar cecair yang tidak dapat dikenal pasti pada kawasan kemaluan

Rawatan dan pencegahan jangkitan saluran kencing

Penyakit air kencing kotor boleh dirawat menggunakan antibiotik untuk menyembuhkan simptom yang dialami. 

Namun, sebagai peringatan, UTI boleh berlaku kali kedua jika pesakit tidak melakukan beberapa jenis perubahan dari segi gaya hidup. 

Untuk mengelakkan jangkitan berulang, ada beberapa langkah pencegahan mudah yang boleh anda lakukan.

Rawatan menggunakan antibiotik

air kencing kotor
Antibiotik biasa digunakan untuk merawat UTI.

Jika anda merupakan seorang lelaki ataupun wanita yang tidak mengandung, doktor akan memberikan preskripsi antibiotik untuk menyembuhkan jangkitan yang dialami.

Simptom UTI akan mula hilang selepas beberapa hari melakukan rawatan. Pastikan anda menghabiskan antibiotik yang diberikan walaupun anda rasa sudah sembuh daripada jangkitan.

Jika UTI yang dialami sembuh, anda tidak perlukan ujian urin untuk kali kedua.

Walau bagaimanapun, individu yang mengalami jangkitan yang lebih teruk mungkin perlu mengambil antibiotik dalam tempoh yang lebih lama.

Malah, ada juga yang perlu dihospitalkan selama beberapa hari.

Untuk pengetahuan anda, 20 hingga 40% wanita yang pernah menghidap UTI akan mengalaminya kembali pada masa hadapan. 

Lelaki pula lebih sukar untuk menghidap UTI, namun jangkitan boleh berulang jika bakteria tersebut masih berada di dalam prostat.

Individu yang mengalami UTI lebih daripada 3 kali setahun perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. 

Anda mungkin perlu melakukan ujian lain untuk kenal pasti masalah yang menyebabkan anda sering diserang air kencing kotor.

Kadangkala, pesakit mempunyai kelainan dari segi anatomi yang menyebabkan mereka lebih berisiko untuk diserang UTI.

Bila saya perlu berjumpa doktor

air kencing kotor
Berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Jangan berlengah untuk terus berjumpa doktor jika anda alami simptom UTI seperti pedih ketika membuang air kecil, sakit pada bahagian abdomen dan ada darah di dalam air kencing kotor.

Selain itu, jika anda demam, rasa sakit pada sisi abdomen dan alami cirit birit, pastikan anda berjumpa doktor dengan segera. Simptom tersebut merupakan tanda jangkitan pada buah pinggang dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan serta-merta.

Doktor mungkin akan bertanya mengenai simptom yang dialami dan mengambil sampel urin untuk mengesahkan pesakit menghidap UTI atau air kencing kotor.

Jika anda berada di rumah dan ingin melegakan ketidakselesaan yang dialami, anda boleh mengambil paracetamol sebelum berjumpa doktor.

Selain itu, anda juga perlu rehat dan minum air dengan banyak. Ini dapat membantu badan untuk menyingkirkan kuman daripada alat sulit dengan lebih cepat. Selain itu, elakkan melakukan hubungan seks sehinggalah simptom mulai hilang.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 30/01/2024

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan