backup og meta

Suka Lihat Orang Bermata Biru? Ambil Tahu Kaitan Antara Warna Mata & Penglihatan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 28/04/2021

    Suka Lihat Orang Bermata Biru? Ambil Tahu Kaitan Antara Warna Mata & Penglihatan

    Penglihatan adalah salah satu pancaindera yang berharga. Di dunia ini, terdapat pelbagai warna mata yang dapat kita lihat mengikut negara dan juga keturunan.

    Kepelbagaian warna mata sama ada berwarna hijau, biru, coklat mahupun hitam mempunyai kecantikan yang tersendiri.

    Mata setiap orang mengandungi bahan kimia semula jadi yang disebut melanin di dalam iris mata. Semakin banyak melanin mata seseorang, semakin gelap warnanya.

    Pun begitu, adakah warna mata memainkan peranan dalam penglihatan seseorang? Untuk mengetahui dengan lebih mendalam, baca artikel ini ya!

    Sains di sebalik warna mata

    Untuk mengetahui bagaimana warna mata mempengaruhi penglihatan anda, fahami terlebih dahulu apa yang membuatkannya berbeza.

    Iris adalah bahagian mata yang berwarna, dan jumlah pigmentasi di dalamnya menentukan warna mata seseorang individu.

    Terdapat 3 gen yang bertanggungjawab untuk menentukan pigmentasi dan ia terikat dengan tahap melanin yang anda miliki.

    Oleh itu, kekurangan melanin pada iris menjadikan warna mata yang lebih terang, seperti biru dan hijau, dan lebih banyak melanin menjadikan warna lebih gelap, seperti hazel atau coklat.

    Melanin mempunyai kesan terhadap cara cahaya menyebarkan warna, dipantulkan atau diserap oleh mata.

    Walaupun warna mata tidak mempengaruhi cara seseorang untuk melihat, namun warna pada mata boleh menyebabkan mereka mempunyai kemampuan penglihatan yang berbeza dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

    Kepekatan melanin dalam pigmen sel iris bertindak sebagai cara untuk melindunginya daripada sinar matahari yang lebih tinggi dengan menyebarkan cahaya keluar.

    Mata berwarna gelap

    Seseorang individu dengan warna mata gelap mempunyai jumlah dan ketumpatan melanin yang lebih tinggi.

    Ini bermaksud di bawah sinar matahari yang terang, melanin akan memantulkan cahaya di dalam mata dan mengelakkan seseorang daripada mengalami masalah silau cahaya.

    Selain itu, melanin bertindak sebagai pelindung, menyebarkan sinar cahaya daripada iris dan memberi mereka keupayaan kontras yang lebih baik.

    Tambahan itu, mata yang berwarna gelap dikatakan mempunyai penglihatan lebih baik dalam menghadapi cahaya silau pada waktu malam.

    Mata berwarna cerah

    mata biru

    Individu yang kekurangan melanin cenderung untuk mempunyai mata yang lebih terang.

    Oleh itu mereka tidak mendapat perlindungan daripada cahaya yang lebih terang serta akan mengalami lebih banyak ketidakselesaan akibat silau.

    Di bawah sinar matahari, risiko daripada sinar UV yang berbahaya akan melewati iris mereka yang mempunyai mata berwarna lebih cerah dan menyebabkan kerosakan melalui pengembangan katarak atau penyakit yang disebut degenerasi makula.

    Pun begitu, pemakaian cermin mata hitam anti UV disarankan untuk mengurangkan risiko ini.

    Kajian saintifik

    Terdapat beberapa kajian saintifik yang menunjukkan kewujudan hubungan antara warna pada mata dan masa reaksi.

    Kajian mengatakan, mereka yang mempunyai mata berwarna lebih gelap menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam melakukan hal-hal seperti memukul bola tenis atau tinju dan ini dikenali sebagai reactive task.

    Manakala, bagi mereka yang mempunyai warna mata lebih terang menunjukkan prestasi yang lebih baik ketika bermain golf atau boling. Perkara ini dikenali sebagai self-paced tasks.

    Telah diketahui bahawa individu dengan mata yang lebih terang cenderung untuk menjadi lebih sensitif terhadap cahaya, akibatnya kurang pigmen di iris untuk melindungi mereka daripada sinar matahari.

    Justeru, ia boleh menyebabkan mereka menghadapi risiko degenerasi makula yang lebih besar dan masalah lain yang berkaitan dengan mata.

    Masalah silau dan sensitiviti cahaya

    Pakar menjelaskan fotofobia iaitu istilah yang digunakan untuk menggambarkan sensitiviti cahaya biasanya akan mempengaruhi mata berwarna cerah kerana kehadiran pigmentasi yang lebih sedikit.

    Oleh itu, golongan ini akan mengalami kesukaran dalam menyekat kesan cahaya yang terang seperti cahaya matahari dan lampu pendarfluor.

    Fotofobia boleh menyebabkan seseorang individu mengalami kesukaran untuk melihat serta fokus pada cahaya terang, atau bahkan ia mampu menyebabkan rasa sakit di sekitar mata.

    Jadi, sekiranya anda sering ‘mengecilkan’ atau menggosok mata dengan kerap ketika melihat cahaya yang terang, ini mungkin merupakan tanda jelas bahawa anda mempunyai fotofobia.

    Jauhi sinaran matahari

    kulit rosak, cahaya matahari

    Berita baiknya adalah fotofobia yang disebabkan oleh warna cahaya mata biasanya mudah untuk disembuhkan.

    Dengan mengelak daripada meluangkan masa yang lama di hadapan pencahayaan yang terang, pemakaian cermin mata anti UV atau pemakaian topi mampu mengurangkan gejala berkaitan sensitiviti terhadap cahaya.

    Pun begitu, bagi mereka yang mempunyai mata berwarna gelap jangan terlalu selesa pula, kerana anda juga harus mengurangkan pendedahan sinar UV jikalau tidak mahu mendapat penyakit mata.

    Pemakaian pelindung mata anti UV akan membantu untuk menjaga kesihatan mata dan juga melindungi kulit di sekitarnya, yang sensitif dan boleh mengalami kerosakan akibat sinar matahari.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 28/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan