Remaja ‘Burung Hantu’ Berisiko Tinggi Hidap Obesiti

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 27/11/2019 . 2 minit bacaan
Share now

Corak dan waktu tidur remaja mungkin menjadi faktor risiko penyakit obesiti dan kesihatan kardiometabolik. Ini kajian terbaru yang dilakukan oleh pengkaji daripada Massachusetts General Hospital for Children (MGHfC) dan juga Harvard Medical School. 

Remaja, jadual harian dan corak tidur

Kualiti tidur yang teruk dan juga durasi tidur yang tidak mencukupi telah diketahui sebagai faktor risiko yang meningkatkan risiko obesiti dan juga masalah kardiometabolik dalam kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, kesan corak tidur dalam kalangan remaja dan bagaimana pilihan mereka mempengaruhi kesihatan kardiometabolik mereka adalah sesuatu yang jarang dikaji.

Selain daripada aspek kualiti dan juga kuantiti, waktu mula tidur juga adalah komponen yang penting kerana ia menentukan jika ritma/jam sirkadian seseorang – jadual bangun/tidur dalaman seseorang – selari dengan ritma aktiviti harian mereka. Keselarian ritma ini adalah sesuatu yang sangat penting dalam kalangan remaja kerana desakan akademik dan juga aktiviti waktu lapang (ketika petang) mereka cenderung untuk menjadikan waktu tidur remaja tidak teratur. Ini boleh menyebabkan masalah dalam keteraturan rentak sikardian mereka. 

Burung hantu yang tidak sihat

Kajian ini mendapati remaja ‘burung hantu’, terma yang digunakan untuk memperincikan remaja yang gemar tidur lambat tetapi terpaksa bangun awal untuk ke sekolah, mempunyai ukur lilit pinggang yang lebih besar dan juga pengumpulan lemak abdomen yang lebih banyak berbanding mereka yang tidur awal dan bangun awal. Pasukan penyelidik mengkaji 804 orang kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun yang diperoleh daripada projek Viva (kajian kohort yang bermula 20 tahun yang lalu yang melihat faktor-faktor kehidupan awal ke atas kesan kesihatan jangka panjang) dan membandingkan antara kronotaip mereka dan juga perbezaan waktu mula tidur mereka ketika hari sekolah dan juga ketika hari bebas. 

Kepentingan waktu tidur remaja yang konsisten

Kajian ini mendapati kronotaip waktu petang dan juga perbezaan waktu tidur hari sekolah dan hari biasa dikaitkan dengan pengumpulan lemak yang lebih banyak. Julat yang terlalu tinggi dalam variasi corak waktu tidur ini boleh mengganggu fisiologi normal badan, menyebabkan peningkatan risiko obesiti dan penyakit berkaitan kardiometabolik. Kajian ini menyokong kepentingan jam biologi dalam mempengaruhi risiko obesiti dan pengumpulan lemak yang lebih banyak dilihat dalam kalangan remaja perempuan berbanding lelaki. Walaupun punca perbezaan ini masih belum jelas, ia mungkin melibatkan faktor biologi dalaman dan juga pengaruh sosiobudaya.

Berdasarkan penemuan ini, para pengkaji menekankan kepentingan kitaran bagun-tidur yang konsisten sepanjang minggu termasuk ketika hujung minggu, demi mengurangkan risiko obesiti dan untuk meningkatkan kesihatan kardiometabolik. Harapan para pengkaji adalah ahli masyarakat khususnya ibu bapa, lebih cakna terhadap kesan tidur yang tidak teratur dan mula untuk menekankan kepentingan waktu tidur remaja yang konsisten. Ibu bapa dan remaja juga perlu melakukan penyusunan jadual harian yang sistematik demi memastikan risiko obesiti mereka menjadi rendah dan kesihatan kardiometabolik mereka terjaga. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga: