backup og meta

Panduan Tidur Di Bulan Ramadan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 06/12/2019

    Panduan Tidur Di Bulan Ramadan

    Bulan Ramadan adalah bulan yang memenatkan bagi sesetengah orang. Mana tidaknya, kita perlu menahan lapar dan dahaga dari waktu subuh hingga maghrib. Lebih dari 10 jam!

    Namun, bagi sesetengah orang pula, berpuasa di siang hari menjadikan mereka lebih produktif. Lebih banyak masa lapang untuk menyelesaikan banyak tugasan memandangkan masa makan sudah dipotong. Daya fokus juga bertambah baik ketika lapar.

    Selain pemakanan, perubahan yang berlaku pada jadual tidur pastinya sedikit sebanyak boleh menjejaskan tenaga dan produktiviti kita jika tidak dirancang dengan baik. Di bulan Ramadan, kita perlu bangun awal sebelum waktu subuh untuk bersahur. Sedangkan malam sebelumnya baru sahaja melaksanakan 8 atau 20 rakaat solat tarawih yang tentunya memerlukan tenaga.

    Jadi, bagaimana kita ingin menyusun jadual tidur di bulan Ramadan?

    Adakah penting untuk mendapatkan tidur yang cukup?

    Jawapannya adalah ya, tidur adalah sangat penting untuk badan kita. Badan memerlukan tidur sebagaimana ia memerlukan udara dan makanan untuk berfungsi dengan baik. Semasa tidur, badan merehatkan diri dan memulihkan kerosakan-kerosakan pada mana-mana sel atau tisu di dalam badan.

    Tidur juga membantu badan menyimpan memori di dalam otak. Tanpa tidur yang cukup, badan tidak akan dapat bekerja dengan efisyen.

    Apakah kesan kurang tidur?

    Banyak kesan buruk disebabkan kurang tidur yang telah dibuktikan oleh pelbagai kajian santifik.

    1. Masalah memori

    Badan membentuk hubungan neuron baru di dalam otak semasa tidur. Ia membantu mengekalkan memori. Jika anda kurang tidur, memori anda juga akan turut terkesan. Sebab itulah belajar tak ingat-ingat!

    2. Perubahan mod

    Kurang tidur boleh mengganggu emosi dan menjadikan anda cepat marah. Jika berterusan dalam tempoh yang lama, ia boleh membawa kepada keadaan kesihatan seperti kebimbangan atau depresi.

    3. Masalah berfikir dan memberikan fokus

    Daya fokus, kreativiti dan skil menyelesaikan masalah anda akan terganggu jika tidak mendapatkan tidur yang cukup.

    4. Kemalangan

    Mengantuk di siang hari boleh mendedahkan anda kepada kemalangan jalan raya atau kemalangan-kemalangan yang lain.

    5. Sistem ketahanan badan (imuniti) lemah

    Sistem imun anda akan lemah melawan jangkitan virus seperti virus yang menyebabkan demam dan selesema. Anda akan kerap jatuh sakit.

    6. Mengurangkan keinginan seksual

    Kurang tidur sering menyebabkan libido yang rendah. Bagi lelaki, ia mungkin disebabkan tahap testosteron yang menurun.

    Jadi, apa panduan tidur terbaik di bulan Ramadan?

    Memandangkan jadual di bulan Ramadan adalah tidak sama dengan bulan-bulan yang lain, anda perlu merancang lebih awal bagi mengelakkan kekurangan waktu tidur dan agar ibadah anda tidak terganggu.

    bedwetting

    1. Jangan berjaga malam

    Walaupun anda perlu sahur, tidak bermakna anda peru berjaga sehingga waktu sahur. Kalau di sesetengah negara terutamanya di Eropah, malam mereka kebiasaannya singkat di bulan Ramadan, sekitar lima hingga lapan jam. Jadi, tidak peliklah jika umat Islam di sana berjaga malam untuk mengelakkan terlepas sahur.

    Tapi di Malaysia, kita mempunyai malam yang panjang sehingga 10 jam. Jadi, tiada keperluan untuk bangun malam. Sebaiknya, masuk tidur awal. Solat tarawih kebiasaannya akan habis paling lewat jam 10.30 malam. Jangan moreh terlalu lama dan seeloknya masuk tidur sebelum jam 11 malam.

    2. Elakkan makan berat sebelum tidur

    Selepas solat tarawih, pastinya kita ingin menikmati hidangan moreh. Cuba elakkan ambil makanan berat seperti nasi berlauk, mi atau mihun. Sebiji dua kuih tidak mengapa. Anda tidak seharusnya mengambil makanan berat sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur.

    Tidur dalam keadaan perut penuh boleh mengganggu penghadaman dan mungkin mengakibatkan pedih ulu hati. Bungkus makanan moreh tu untuk dibawa ke waktu sahur.

    3. Cukupkan waktu tidur

    Waktu tidur yang cukup bagi setiap orang adalah berbeza-beza antara enam hingga sembilan jam. Mungkin ada orang yang hanya memerlukan kurang daripada itu. Asalkan anda boleh kekal aktif sepanjang hari, maka jam waktu tidur anda dikira mencukupi.

    Jika anda perlu bangun awal di bulan Ramadan untuk makan sahur, menyediakan sahur atau solat tahajud, cuba cari masa untuk cukupkan waktu tidur. Antara waktu yang sesuai untuk melangsaikan hutang tidur anda adalah sebelum zohor. Ambil sedikit masa, antara 15 ke 30 minit sebelum zohor untuk dapatkan tidur yang berkualiti sebagai persediaan untuk bangun awal di waktu malam.

    4. Jadikan tidur prioriti anda

    Jika anda tidak menganggap tidur sebagai sesuatu yang penting dan perlu dicukupkan, anda selamanya tidak akan dapat memenuhi jam tidur anda.

    Walaupun perlu menahan makan dan minum selama lebih 10 jam, ia bukan alasan untuk anda bermasalan dan tidur sepanjang hari. Meskipun tidak membatalkan puasa, tidur sepanjang hari boleh mengurangkan pahala puasa dan ia sama sekali jauh dari falsafah puasa itu sendiri yang bertujuan mendidik manusia menjadi lebih kuat.

    Selamat malam!

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 06/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan