Penjagaan Rambut Perlu Betul Terutamanya Yang Bertudung!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 05/12/2019 . 8 minit bacaan
Share now

Rambut adalah mahkota bagi setiap individu, tidak kira lelaki atau wanita. Disebabkan itu, penjagaan rambut adalah sangat penting untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan yang lembut dan rapi. Persoalannya, apakah cara atau teknik penjagaan rambut yang paling betul untuk dilakukan oleh anda? 

Kegusaran ini pasti akan bermain di fikiran setiap individu. Ini kerana setiap jenis rambut mempunyai cara penjagaan rambut yang tersendiri. Jika anda seorang yang bertudung pula, ia pasti lebih sukar! Jadi, bagaimanakah caranya? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenai penjagaan rambut dengan lebih lanjut.

Jenis rambut

Sebelum pergi lebih lanjut, wajar untuk kita tahu bahawa di dunia ini terdapat pelbagai jenis rambut secara lahiriahnya. Dengan teknologi kini yang serba canggih pula,  individu sudah boleh mendapatkan rambut impian mereka hanya dengan mengunjungi salun sahaja. Semula jadi atau tidak, jenisnya sebenarnya sangat penting bagi anda kerana penjagaan rambut untuk setiap jenisnya adalah berbeza sesama sendiri.

Sebagai mahkota individu, ia memainkan peranan yang sangat besar. Gaya rambut sebenarnya boleh menentukan personaliti dan penampilan seseorang. Rambut yang tidak terurus mungkin memberikan petanda bahawa tuan punya badan itu adalah seorang pemalas.

Selain itu, jenisnya yang berbeza boleh memberi bayangan atau gambaran susur galur dan keturunan seseorang itu. Malahan itu, beberapa keadaan kesihatan juga boleh menunjukkan simptom dan tanda pada rambut serta kulit kepala anda. Oleh itu, jangan ambil mudah, ya?

deal-hair-loss

Mari kenali jenis rambut anda!

#1. Jenis lurus

Jenis ini mencerminkan rambut yang paling lembut dan kuat berbanding jenis-jenis yang lain. Jenis ini adalah paling susah untuk rosak kerana cecair sebum daripada kelenjar di kulit kepala mudah tersebar sehingga hujung rambut, memberikan perlindungan yang baik kepada rambut. Ia juga sangat mudah diurus dan boleh digayakan tanpa menggunakan apa-apa produk sekalipun. Sangat beruntung bagi individu yang lahir dengan jenis rambut sebegini, bukan?

#2. Jenis ikal mayang

Jenis ini adalah sangat unik dan mungkin antara yang paling cantik, terutamanya bagi wanita. Ia bermula lurus daripada kulit kepala dan beralun di hujungnya. Tidak kurang juga mereka yang mendapatkan rawatan salun semata-mata demi mendapatkan gaya rambut ini.

#3. Jenis beralun

Jenis ini adalah bergelombang dan mempunyai tekstur di antara rambut lurus dan keriting. Pun begitu, ia sebenarnya lebih cenderung menjadi keriting berbanding rambut lurus. Jika alunannya sederhana, ia mudah digayakan. Namun, alunan yang kasar agak susah digayakan dan memerlukan gel atau minyak yang sesuai untuk melembutkan teksturnya.

#4. Jenis keriting

Jenis ini adalah rambut yang mempunyai bentuk huruf ‘S’, atau kadangkala berbentuk huruf ‘Z’. Kebiasaannya, ia adalah tebal, dan mudah rosak. Jika tidak dijaga dengan betul, sifat keritingnya akan menjadi semakin teruk. Sebaliknya, jika dijaga dengan baik, ia akan menjadi gaya menarik yang hanya boleh digayakan oleh pemilik rambut jenis ini sahaja.

Ia juga mempunyai beberapa jenis seperti keriting halus (frizzy) atau keriting kasar (curly). Mungkin ramai individu yang mempunyai rambut jenis ini cenderung untuk meluruskannya di salun dengan menggunakan teknik rebonding atau relaxing. Pun begitu, ia sebenarnya hanya akan merosakkan rambut semula jadi anda yang cantik ini. 

Mengapa perlu tahu jenis rambut?

Mengenali jenis rambut diri sendiri adalah sangat penting buat individu. Ia membantu anda untuk menentukan stail yang paling sesuai untuk digayakan oleh anda dan cara penjagaan rambut. Jika dilakukan dengan betul, masalah seperti keguguran rambut boleh diselesaikan dengan mudah!

Hakikatnya, rambut adalah satu anugerah yang tidak ternilai buat kita. Oleh itu, hargai dan sayangilah ia walau apa pun jenisnya. Setiap jenis adalah cantik terutamanya jika ia adalah semula jadi. Anda tidak perlu menghabiskan terlalu banyak duit menggayakannya semata-mata untuk nampak cantik sehingga merosakkan sifat semula jadinya.

Penjagaan rambut

Selain penggunaan syampu, perapi dan lain-lain produk artifisial yang anda boleh dapati di pasaran, terdapat beberapa produk tradisional yang anda boleh guna ketika membasuh atau mencucinya.

Antara produk tradisional yang paling popular dalam kalangan masyarakat kita tentang hal penjagaannya adalah minyak zaitun, minyak kelapa, daun inai, gel lidah buaya atau ekstrak avokado. Pun begitu, mungkin ramai yang belum tahu bahawa minyak pati pudina juga sebenarnya boleh digunakan sebagai cara tradisional dalam proses penjagaannya.

Sebenarnya, pudina telah digunakan sebagai salah satu bahan utama untuk menyembuhkan pelbagai masalah kesihatan selama bertahun-tahun lamanya seperti masalah sakit perut dan sakit kepala. Akan tetapi, terdapat satu lagi khasiat minyak pati pudina, iaitu ia sangat membantu menjaga kesihatan rambut anda!

Khasiat minyak pati pudina buat penjagaan rambut anda

Ya, mungkin ia sangat popular sebagai bahan tradisional untuk kesihatan gigi dan mulut anda kerana ia terdapat dalam banyak produk penjagaan oral seperti di dalam ubat gigi atau ubat kumur mulut. Namun begitu, tahukah anda bahawa ia juga sangat bagus untuk mahkota manusia ini? Berikut merupakan khasiat minyak pati pudina buat rambut anda:

#1. Membantu mempercepatkan pertumbuhan rambut

Jika rambut yang tertanggal pada sikat rambut menyebabkan anda tertekan, anda mesti mencuba minyak pati pudina. Ia sangat mudah menembusi dalam kulit kepala dan merangsang folikel rambut anda. Tambahan pula, minyak pati pudina boleh membantu meningkatkan peredaran darah di kulit kepala anda, yang menghasilkan pertumbuhan rambut yang lebih baik.

#2. Membantu memperkuatkan akar rambut

 

Minyak pati pudina sangat kaya dengan pulegone dan mentone, yang berfungsi menguatkan akar rambut dan membantu mencegahnya daripada gugur. Anda hanya perlu menggunakan minyak pati pudina secara langsung pada kulit kepala. Disebabkan ia mempunyai konsistensi yang sedikit tebal, anda perlu campurkan dengan minyak yang lain untuk lebih mudah digunakan.

#3. Membantu menyelesaikan masalah kulit kepala dan rambut kering

Jika kulit kepala kering merengsakan anda, terutamanya pada waktu malam semasa tidur, minyak pati pudina adalah penyelesaian yang terbaik. Oleh kerana ia mempunyai ciri-ciri pelembab yang sangat baik, penggunaan minyak pati pudina secara berterusan akan membantu menghidrat kulit kepala kering anda. 

Apa yang perlu anda lakukan adalah campurkan minyak pudina dengan apa-apa minyak lain dan gunakan campuran itu pada rambut anda. Balut rambut anda selama 30 minit dan basuh dengan air hangat. Ini bukan sahaja menyuburkan rambut dan kulit kepala anda, tetapi juga melembapkannya dengan baik.

#4. Membantu merawat masalah kutu

Minyak pati pudina terkenal dengan aroma yang menyegarkan. Mentol yang wujud di dalamnya akan membantu menghidupkan semula rambut anda yang telah rosak agar ia akan kelihatan segar. Paling penting, aroma minyak pati pudina yang kuat ini menghancurkan kutu di kepala dan membunuhnya sepenuhnya. Untuk menghilangkan kutu, hanya gunakan minyak pudina pada waktu malam sebelum tidur dan basuhnya anda keesokan harinya. Ini akhirnya akan menyelesaikan masalah kutu anda.

Penjagaan rambut bagi wanita bertudung

Seiring dengan tuntutan agama, wanita bertudung kini adalah satu perkara yang sangat normal. Pun begitu, bertudung sebenarnya boleh mendatangkan pelbagai masalah terhadap rambut dan kulit kepala. Jadi, apa yang anda boleh lakukan untuk menyelesaikannya?

#1. Cuci rambut

Perkara yang paling penting adalah anda perlu cuci rambut selang sehari atau basuh sahaja ketika kulit kepala sudah terasa berminyak. Pun begitu, jangan pula anda cucinya setiap hari kerana rambut yang basah hanya akan membuat risiko keguguran menjadi lebih tinggi. Selain itu, pastikan anda cuci rambut dan kulit kepala menggunakan syampu serta perapi selain mengurut serta menggaru lembut kulit kepala ketika mencucinya.

#2. Sikat rambut

Selain mencuci, menyikatnya juga adalah sangat penting. Setiap kali sebelum mencuci rambut, pastikan anda menyikat rambut terlebih dahulu agar rambut mudah untuk dicuci dan tidak kusut. Rambut yang kusut hanya akan menyukarkan proses mencuci seterusnya dikhuatiri akan membuatkan rambut gugur apabila ditarik-tarik dalam keadaan yang basah. Selepas mencuci pula, keringkan rambut dan sikat ia menggunakan jari dengan lembut.

#3. Guna syampu dan perapi yang sesuai

Anda perlu tahu bahawa setiap jenis rambut mempunyai produk yang spesifik. Oleh itu, sila beli syampu dan perapi yang sesuai dengan jenis rambut anda, ya? Jika perlu, sila dapatkan nasihat pakar kerana kulit kepala adalah sangat sensitif dan mungkin akan menyebabkan kesan negatif seperti keguguran rambut yang melampau. Sebaiknya, sila gunakan syampu dan perapi yang dirumus khas untuk wanita bertudung.

#4. Elak cuci rambut dengan air panas

Ada mitos yang mengatakan bahawa kita perlu mencuci rambut dengan menggunakan air panas untuk membantu merawat rambut rosak terutamanya bagi wanita bertudung. Ini sama sekali tidak benar! Sebenarnya, perbuatan mencuci rambut dengan air panas hanya akan menyebabkan tekstur rambut menjadi lebih kasar, kering dan menggerbang. Sebaiknya, guna air bersuhu sederhana atau sejuk untuk mendapatkan kesan yang lebih baik.

#5. Belai rambut dengan serum atau tonik sebelum tidur

Selepas seharian menjalankan aktiviti, pasti rambut dan kulit kepala anda yang terperap di dalam tudung akan menjadi tidak bermaya. Oleh itu, setiap kali sebelum tidur anda boleh belai rambut anda dengan serum atau tonik. Sebaiknya, dapatkan produk yang telah diperakui oleh pakar dan diyakini oleh testimoni. Dapatkan bantuan doktor untuk menentukan serum yang terbaik untuk anda jika perlu. Ini akan membantu rambut dan kulit kepala menyerap nutrien agar ia tetap sihat dan kuat walaupun bertudung. 

#6. Dandan atau tocang rambut sebelum tidur

Setiap individu pasti pernah mengalami masalah rambut menggerbang seperti singa setiap kali bangun tidur, bukan? Ini akan berlaku terutamanya buat wanita yang bertudung. Mungkin serum atau tonik sahaja tidak mencukupi untuk persediaan rambut anda sebelum masuk tidur. Jadi, apa yang anda boleh lakukan adalah dandan dan tocang rambut anda secara longgar (tocang lipan) agar ia sentiasa rapi. Ia bukan sahaja akan menjadikan tidur anda lebih lena kerana selesa malahan juga mampu mengurangkan masalah rambut gugur ekoran geseran dengan bantal ketika tidur.

#7. Jaga pemakanan anda!

Mungkin ada individu yang mengambil ringan mengenai perkara ini dan beranggapan bahawa pemakanan tidak akan memberi apa-apa kesan kepada rambut anda. Hakikatnya, anda perlu sedar bahawa rambut juga memerlukan nutrien yang sedikit sebanyak akan mendorong kesihatan dan kecantikan rambut anda. Oleh itu, anda perlu mengambil pelbagai makanan tambahan seperti vitamin yang mengandungi biotin, silika dan lain-lain. Ia bukan sahaja akan mendatangkan manfaat buat rambut, malahan kesihatan tubuh badan anda juga secara keseluruhannya.

#8. Jangan sanggul rambut dalam keadaan yang masih basah

Bagi wanita yang bertudung, bersanggul itu adalah perkara yang normal. Sebenarnya, ia juga boleh menjadi satu perkara yang merosakkan rambut jika ia tidak dilakukan dengan betul. Antara kesilapan yang selalu dilakukan ketika membuat sanggul adalah ia dilakukan ketika rambut masih basah. Sebaiknya, pastikan ia benar-benar sudah kering sebelum bersanggul dan bertudung. Ini kerana rambut yang tertutup dalam keadaan basah akan mengakibatkan masalah kelemumur selain menjadi kusut dan membuat hujung rambut berbuah atau bercabang. Selain itu, kulit kepala juga akan lebih mudah berminyak. Jadi, keringkan rambut sepenuhnya terlebih dahulu sebelum mengenakan tudung.

#9. Guna getah rambut yang sesuai

Ketika menyangul atau mengikat rambut sebelum bertudung, anda perlu pastikan anda menggunakan getah rambut yang sesuai. Sebaiknya, elakkan daripada menggunakan getah yang kasar seperti gelung getah yang biasa dan gunakan getah yang diperbuat daripada materialyang lembut seperti satin ataupun baldu. Selain itu juga, jangan sesekali sanggul atau ikat rambut anda terlalu ketat! Ini kerana perbuatan ini akan menarik rambut dengan kuat dari permukaan kulit kepada dan seterusnya membuat akar rambut menjadi lemah dan mudah tercabut lalu menyebabkan masalah keguguran. Sebenarnya, lebih baik jika anda biarkan rambut anda bebas sahaja sebelum mengenakan tudung.

#10. Guna anak tudung yang sesuai

Bagi wanita yang gemar menggunakan anak tudung, sila pastikan anda memakai anak tudung yang berasaskan fabrik kapas yang serap peluh. Berpeluh adalah perkara biasa bagi wanita bertudung terutamanya ketika cuaca sedang panas terik. Ini akan mengakibatkan rambut berbau kepam sekali gus merosakkannya. Jadi, gunakan fabrik yang sesuai dan kurang panas, sesuai dengan cuaca di Malaysia.

#11. Guna tudung yang bertekstur nipis dan ringan 

Di pasaran kini, terdapat banyak tudung yang dijual dengan macam-macam gaya dan cara ikat dan lilit yang menjadi trend. Pun begitu, tidak semua daripadanya boleh digunakan kerana ia hanya akan menyebabkan rambut dan kulit kepala menjadi gatal terutamanya jika teksturnya keras dan berat. Jadi, sila pilih tudung yang bertekstur nipis dan ringan. Selain itu, praktikkan ikatan atau lilitan yang mudah serta tidak terlalu melekat dengan kulit kepala. Ini bertujuan memberikan pengaliran udara yang baik buat rambut dan kulit kepala. Dengan ini, barulah kesihatannya dapat terjaga, bukan?

#12. Guna tudung yang berwarna lembut

Warna gelap terutamanya hitam adalah tidak sesuai dipakai ekoran iklim negara kita yang sangat panas pada siang hari. Jadi, sila pilih tudung yang berwarna lembut seperti putih, krim atau apa-apa sahaja warna cair kerana ia mampu membebaskan wap yang terperangkap di kawasan rambut dan kulit kepala sepanjang hari. Ini sekali gus akan membuat anda berasa lebih nyaman dan selesa sepanjang hari.

#13. Kunjungi salun dan spa dengan kerap

Akhir sekali, anda perlu kunjungi salun atau spa untuk melakukan penjagaan rambut dengan kekerapan tiga hingga enam bulan sekali. Bertudung tidak bermakna anda boleh membiarkan sahaja rambut anda tanpa sebarang rawatan penjagaan rambut. Sebaiknya, sentiasa potong sedikit hujung rambut yang berbuah atau bercabang di salun untuk memastikan ia mudah diurus. Selain itu, lakukan rawatan rambut di spa secara berkala untuk memastikan ia kekal sihat dan kuat.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Artikel lain untuk anda

    Masker Rambut Semula Jadi untuk Jenis Rambut Berbeza

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Helma Hassan
    Diterbitkan pada 04/05/2018 . 2 minit bacaan