backup og meta

Pernah Dengar Mengenai Vitamin U? Ia Ada Dalam Jus Kubis & Katanya Baik Untuk Ulser Perut?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/03/2021

    Pernah Dengar Mengenai Vitamin U? Ia Ada Dalam Jus Kubis & Katanya Baik Untuk Ulser Perut?

    Kita biasa dengar mengenai kepentingan vitamin A, vitamin B atau vitamin C. Namun pernahkah anda dengar manfaat vitamin U? Ya, vitamin U berkait rapat dengan jus kubis. Lihat kepada apa yang kami sediakan di bawah ini.

    Apa itu vitamin U?

    Vitamin U adalah satu istilah yang diperkenalkan pada awal tahun 1950-an untuk mengenal pasti sebatian yang terdapat dalam jus kubis.

    Walaupun namanya vitamin U, vitamin ini sebenarnya bukanlah sejenis vitamin tetapi merupakan produk hasilan daripada asid amino metionin.

    Antara contoh produk hasilan asid amino ini yang sering dipanggil sebagai vitamin U ialah S-methylmethionine (SMM), methylmethionine sulfonium (SMM), dan 3-amino-3-carboxypropyl dimethylsulfonium.

    Vitamin ini tidak hanya tersedia sebagai makanan tambahan tetapi juga terdapat secara semula jadi dalam pelbagai makanan, terutama sayur-sayuran seperti kubis, brokoli, kubis Brussel, dan kubis daun.

    Selain itu, syarikat kosmetik juga menambahkan hasilan asid amino ini ke dalam krim, serum, topeng muka, dan produk kecantikan yang lain.

    4 manfaat vitamin U yang perlu anda tahu

    jus kubis

    Vitamin U seringkali diiklankan sebagai rawatan untuk ulser perut.

    Ia juga dikatakan boleh meningkatkan pencernaan, memperkuat kesihatan imun, melindungi daripada alergi makanan, menurunkan kolesterol, dan mempercepat penyembuhan luka.

    Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan mengenai vitamin ini adalah terhad. Hanya sebahagian sahaja daripada manfaatnya dibuktikan oleh sains. Antara manfaat vitamin ini kepada tubuh badan manusia ialah:

    Boleh membantu menyembuhkan ulser perut

    Ketika vitamin U mula dikaji pada tahun 1950-an, beberapa kajian menunjukkan bahawa dengan meminum 945 ml jus kubis setiap hari boleh membantu menyembuhkan ulser perut.

    Kadar kesembuhannya adalah 4 hingga 5 kali lebih cepat daripada terapi anti ulser biasa yang ada pada masa itu.

    Namun, para penyelidik tidak dapat mengesahkan sama ada kesan ini benar-benar disebabkan oleh manfaat vitamin U atau nutrien yang lain.

    Sejak itu, beberapa kajian telah mengkaji topik tersebut. Untuk menentukan sama ada vitamin ini benar-benar berkesan merawat ulser, lebih banyak kajian lain diperlukan.

    Boleh melindungi paru-paru, hati, dan buah pinggang

    Vitamin U mungkin boleh melindungi paru-paru, hati, dan buah pinggang anda daripada kerosakan.

    Dalam kajian terhadap haiwan, vitamin U dilihat membantu memulihkan beberapa kerosakan hati yang disebabkan oleh asid valproik iaitu ubat anti sawan yang biasa digunakan.

    Dalam kajian lain, tikus yang diberi vitamin ini mengalami kerosakan buah pinggang yang lebih sedikit setelah menerima asid valproik berbanding tikus yang tidak diberi vitamin ini.

    Vitamin ini juga dilihat dapat mengurangkan tanda-tanda keradangan.

    Kajian terhadap haiwan yang lain menunjukkan bahawa vitamin ini dapat membantu mengurangkan kerosakan paru-paru akibat serangan epilepsi.

    Namun, kajian terhadap manusia perlu dilakukan untuk menentukan keberkesanannya.

    Vitamin U boleh menurunkan kadar kolesterol dan trigliserida

    vitamin u

    Walaupun ada bukti menyokong tanggapan bahawa suplemen vitamin ini membantu mengurangkan kadar kolesterol dan trigliserida, namun bukti tersebut adalah lemah.

    Sebagai contoh, satu kajian tabung uji menunjukkan bahawa vitamin ini dapat mencegah pembentukan sel-sel lemak dan mengurangkan kadar trigliserida.

    Namun, kajian yang dijalankan terhadap manusia adalah sangat sedikit untuk membuktikannya.

    Dalam kajian selama 8 minggu, individu yang diberikan 1.5 gram vitamin ini sehari tidak mengalami sebarang perubahan dalam kadar trigliserida.

    Namun, paras kolesterol baik berada pada paras yang lebih tinggi dan berlaku pengurangan jumlah kolesterol hampir 10%.

    Walau bagaimanapun, kajian ini sudah agak lapuk dan melibatkan sebilangan peserta sahaja. Oleh itu, lebih banyak kajian terhadap manusia diperlukan untuk membuktikan manfaatnya. 

    Boleh membantu penyembuhan luka dan perlindungan kulit

    Vitamin U mungkin dapat memberikan perlindungan terhadap sinar ultraviolet (UV) matahari, dan mempercepatkan penyembuhan luka.

    Kajian tabung uji dan terhadap haiwan melaporkan bahawa penggunaan vitamin ini secara langsung pada luka dapat mempercepatkan penutupan luka.

    Tambahan pula, vitamin ini juga dilihat berpotensi melindungi tubuh daripada luka terbakar dan kerosakan lain yang disebabkan oleh sinar UV.

    Berdasarkan penemuan ini, beberapa penyelidik mencadangkan bahawa beberapa produk kosmetik tertentu harus diformulasikan dengan vitamin ini.

    Walau bagaimanapun, kajian terhadap manusia masih lagi kurang dan memerlukan lebih banyak kajian lanjutan mengenainya. 

    Kesan sampingan yang mungkin terjadi

    Vitamin U mungkin selamat apabila dimakan secara langsung daripada makanan sebenar.

    Hanya sedikit pengetahuan yang diketahui mengenai keselamatannya atau kemungkinan kesan sampingannya jika ia diambil dalam bentuk suplemen.

    Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda mendapatkan sumber vitamin U daripada makanan yang kaya dengan vitamin ini seperti kubis, brokoli, kubis Brussel, dan kubis daun.

    Menurut European Chemicals Agency, vitamin ini mungkin boleh menyebabkan kerengsaan pada mata, kulit, atau paru-paru jika bersentuhan langsung dengan organ-organ ini.

    Oleh itu, anda mungkin perlu berhati-hati dengan produk penjagaan kulit yang mengandungi sebatian vitamin U ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/03/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan