backup og meta

Bukan Boleh Ambil Begitu Sahaja, Ada Sebab Perlu Basuh Buah & Sayur Sebelum Makan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 23/03/2021

    Bukan Boleh Ambil Begitu Sahaja, Ada Sebab Perlu Basuh Buah & Sayur Sebelum Makan!

    Kita semua perlu makan buah dan sayur untuk memastikan tubuh badan kita mendapat nutrien secukupnya dan mampu berfungsi dengan baik.

    Ada individu yang gemar memakan buah dan sayur bersama sajian utama dan ada juga yang suka mengambilnya dengan begitu sahaja.

    Walau apapun cara yang anda pilih, ada satu perkara yang perlu diingat untuk dibuat iaitu sila basuh buah dan sayur sebelum makan.

    Kenapa? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi!

    Kenapa perlu makan buah & sayur?

    Meskipun ramai golongan yang gemar memakan buah dan sayur, namun masih ada juga mereka yang tidak suka untuk mengambilnya.

    Sewajarnya pendirian tidak suka makan makanan berkhasiat ini perlu diubah sekarang juga kerana ketahuilah bahawa terdapat banyak manfaatnya terhadap tubuh badan.

    Sebab paling utama adalah kerana kedua-duanya mengandungi nutrisi, vitamin dan mineral yang mampu membuat tahap kesihatan anda menjadi lebih baik.

    Selain itu, ia juga tinggi kandungan serat yang sangat penting untuk membantu sistem penghadaman kita menjadi lebih lancar dan sihat.

    Kandungan kalorinya yang sangat rendah juga adalah sangat bagus buat mereka yang mengalami berat badan berlebihan dan ingin menurunkan berat badan.

    sayur dan buah

    Akhir sekali, ia pasti akan membuat pinggan hidangan anda tampak jauh lebih menarik!

    Kenapa perlu basuh buah & sayur?

    Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita, segala makanan segar mesti akan dibasuh terlebih dahulu sebelum dimakan bukan?

    Pun begitu, kadangkala kita mungkin akan terlupa ataupun memang tidak peduli untuk melakukannya, jadi ini perlu diubah segera!

    Lebih-lebih lagi pada musim pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia kini, ia memang satu tindakan yang wajar.

    Sebab utamanya adalah untuk menghapuskan segala kuman, bakteria atau virus yang terdapat di permukaan buah dan sayur ini termasuklah Listeria, Salmonella dan E.coli.

    Ini kerana produk segar kebiasaannya akan diurus dan disentuh oleh ramai individu dan disimpan di banyak tempat sebelum dipasarkan.

    Jadi ada risiko di mana buah dan sayur ini akan tercemar dengan persekitaran di mana ia berada sebelum ini atau ketika ia dipaparkan.

    Antara risiko yang wujud adalah ia mungkin tercemar apabila individu berdekatan dengannya batuk, bersin atau sekadar menyentuh dengan tangan sahaja.

    Disebabkan itu, basuhlah buah dan sayur anda setiap kali sebelum makan ya?

    Cara basuh buah & sayur yang betul

    khasiat sayur sayuran

    Dengan membasuh segala produk segar yang baru sahaja kalian beli dari pasar raya, maka mikroorganisme yang terdapat di permukaannya akan mati.

    Untuk pengetahuan anda, kebanyakan mikroorganisme ini akan berada pada tanah atau pasir yang melekat pada buah atau sayur.

    Untuk menyingkirkan ia, maka anda perlu membasuh tanah atau pasir yang melekat pada produk ini terlebih dahulu menggunakan air.

    Caranya adalah dengan meletakkan buah atau sayur di bawah aliran air paip dan sental ia dengan perlahan menggunakan tangan.

    Usai mencuci dan menggosok produk ini, maka bilas sekali lagi menggunakan air paip sehingga tiada lagi butir tanah atau pasir.

    Sekiranya anda ingin lebih yakin bahawa ia benar-benar telah suci daripada segala anasir jahat, teknik mengupas kulit atau memasak juga sangat membantu.

    Tip tambahan untuk anda!

    Baiklah, sekarang kita semua sudah tahu cara basuh buah dan sayur dengan betul jadi jangan lagi mengulangi kesilapan yang sama ya?

    Bagaimana pula dengan aspek menyimpan, mengurus dan memasak buah atau sayur? Adakah terdapat juga beberapa tip tambahan?

    mencuci sayuran

    Ada, ini yang anda perlu lakukan:

    • Sentiasa basuh tangan setiap kali sebelum atau selepas mengendalikan produk segar
    • Simpan produk segar berasingan daripada makanan yang telah sedia siap
    • Guna papan pemotong, pisau dan utensil yang berbeza untuk memotong produk segar dan makanan yang telah sedia siap
    • Periksa label (melainkan ia mengatakan “siap sedia dimakan begitu sahaja’) dan jika tidak, sila basuh, kupas dan masak terlebih dahulu

    Konklusinya, membasuh setiap produk segar termasuklah buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sangat penting untuk mengelakkan ia daripada dicemari kuman, bakteria atau virus.

    Oleh itu, jangan lagi kalian malas, lupa atau sengaja tidak melakukannya selepas ini okay!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 23/03/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan