backup og meta

Biar Betul! Ikan Masin Mengandungi Karsinogen?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 13/05/2022

    Biar Betul! Ikan Masin Mengandungi Karsinogen?

    Karsinogen adalah apa-apa unsur (kompaun atau radiasi) yang mendorong kepada pembentukan kanser. Pembentukan kanser ini boleh terjadi melalui beberapa mekanisma seperti kerosakan DNA sel, cetusan mutasi dan sebagainya. Tahukah anda, di saat anda seronok menjamu selera, terdapat kemungkinan bahawa adanya bahan karsinogen dalam makanan tersebut.

    Karsinogen popular

    Jika anda seorang penggemar komik Marvel, anda pasti pernah dengar tentang radiasi gamma. Radiasi yang menyebabkan Bruce Banner menjadi gergasi hijau ini mempunyai tenaga yang sangat tinggi. Sehubungan itu, ia mampu untuk menyebabkan kerosakan DNA dalam sel, mutasi genetik dan akhirnya kanser. Tahap karsinogen suatu sinaran itu bergantung kepada jenis radiasi, pendedahan kepada radiasi tersebut dan juga tahap tembusnya. Untuk itu, terdapat juga situasi di mana radiasi yang mengeluarkan zarah alpha juga boleh dikira sebagai karsinogen. Dalam keadaan biasa, anda juga boleh terdedah kepada sinaran bertenaga tinggi iaitu sinaran UV. Di Australia, khususnya di bahagian yang terdapat lubang pada lapisan atmosfera, sinaran UV dikatakan sebagai punca kepada insiden kanser kulit yang tinggi di negara tersebut. Selain sinaran, terdapat juga karsinogen popular yang lain dalam kehidupan harian. Contoh yang mudah adalah tembakau dan juga zarah dalam udara yang dibebaskan oleh kilang dan kenderaan bermotor.  

    Karsinogen dalam makanan

    Terdapat beberapa kompaun karsinogen dalam makanan harian yang diambil tanpa kita sedari. Berikut merupakan 4 jenis karsinogen dalam makanan yang lazim ditemui:

    1.Karsinogen semula jadi yang tidak boleh dielak

    Berita buruk untuk rakyat Malaysia, karsinogen dalam kumpulan ini mungkin merupakan bahan karsinogen yang paling kerap dimakan. Ini kerana ia terdapat dalam salah satu lauk tradisional yang popular di negara ini – ikan masin. Untuk penjelasan, ikan itu sendiri tidak mempunyai sebarang karsinogen di dalamnya tetapi proses yang digunakan untuk menghasilkan ikan masin itu secara tidak sengajakan menyebabkan bahan karsinogen semula jadi terhasil. Beberapa kompaun karsinogen yang telah dikenal pasti dalam ikan masin termasuklah N-nitrosodimetilamin dan juga kompaun nitrosamin yang lain. Beberapa kajian kes dan kajian ekologi telahpun menunjukkan bahawa pengambilan ikan masin masakan China dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser nasofarinks, kanser perut dan juga kanser oesofagus.

    2.Karsinogen semula jadi yang boleh dielak

    Terdapat juga karsinogen dalam makanan yang berupaya untuk dielak walaupun ia terhasil secara semula jadi. Contoh karsinogen dalam kumpulan ini adalah aflatoksin. Aflatoksin adalah metabolit toksik yang dihasilkan oleh spesies fungi Aspergillus flavus. Secara semula jadi, toksin ini boleh didapati pada bijirin dan beberapa jenis kekacang. Binatang yang memakan kacang atau bijirin tercemar berpotensi untuk menghasilkan produk makanan yang mengandungi toksin ini. Wanita hamil yang mengambil makanan tercemar dengan toksin ini pula berupaya untuk menyebarkannya kepada bayi melalui susu badan. Mujurlah, toksin ini berupaya untuk dibuang melalui beberapa teknik industri, menjadikan risiko pendedahannya rendah.

    3.Bahan kimia antropogenik yang boleh berada dalam makanan

    Contoh karsinogen dalam makanan daripada jenis ini adalah kompaun dioksin. 2,3,7,8-tetraklorodibenzo-p-dioksin (TCDD) boleh, dengan tidak sengaja, berada dalam makanan ketika proses pembentukan hidrokarbon yang berklorin. Ia tidak pernah dihasilkan dengan sengaja melainkan untuk tujuan kajian atau terbentuk akibat daripada pembakaran tidak sempurna yang melibatkan kewujudan klorin. TCDD yang sedikit turut dihasilkan oleh pembakaran hutan. Kompaun ini mampu untuk mencemarkan persekitaran, melawan degradasi dan boleh terkumpul dalam sesetengah produk makanan. Antara kanser yang telah dikaitkan dengan bahan ini adalah kanser paru-paru, limfoma bukan-Hodgkin dan juga kanser tiroid. 

    4.Bahan kimia antropogenik yang sengaja ditambah dalam makanan

    Kategori ini melibatkan bahan kimia seperti sakarin dan pewarna makanan. Sakarin, sejenis pemanis tiruan yang kerap ditambah dalam makanan, merupakan sejenis bahan karsinogen. Bahan ini dikaitkan dengan kanser pundi kencing yang malignan dan cukup agresif. Kecenderungan untuk menghidap kanser pundi kencing dengan pengambilan sakarin ini dilihat lebih lazim berlaku dalam jantina lelaki berbanding wanita.

    Memilih makanan terbaik

    Jelas sekali, apabila kita tidak cakna tentang makanan yang diambil, kita sedang meletakkan diri sendiri dalam risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit kronik seperti kanser. Melalui forum anjuran Allianz Malaysia Berhad pada 19 Oktober yang lepas, syarikat insurans tersebut telah memperkenalkan salah satu rakan kongsi strategik mereka iaitu DietChain. DietChain merupakan sebuah platform makanan dan minuman pintar yang membantu pengguna untuk mendapatkan pelan diet yang sihat.

    Aplikasi ini menggabungkan pengumpulan data diet, penilaian tahap kesihatan peribadi pengguna, prinsip dan juga panduan resepi sihat. Makanan yang sihat dapat membantu untuk melindungi anda daripada penyakit yang tidak diingini. Penyakit kronik seperti kanser, diabetes dan juga tekanan darah tinggi dapat dicegah jika anda cakna tentang pemakanan anda. Kekal sihat dengan pengambilan makanan yang betul.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 13/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan