Kelebihan Makan Sayur Bayam, Mengelak Kecacatan Janin & Turunkan Risiko Diabetes

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 25/10/2020 . 6 minit bacaan
Share now

Bayam adalah sayuran berdaun hijau kegemaran watak utama kartun Popeye The Sailor Man. Tetapi benarkah manfaat bayam hebat sehingga menjadikan anda kuat atau sekadar rekaan semata-mata?

Apa itu bayam?

Jika anda pernah menonton rancangan Popeye The Sailor Man, pasti anda mengetahui bahawa jenis sayuran kegemaran Popeye. Ya, bayam merupakan sayuran berdaun hijau yang menjadi pilihan Popeye dan apabila dimakan ia terus menjadikan Popeye kuat dan berotot.

Namun, benarkah manfaat bayam begitu hebat untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang individu atau ia  sekadar rekaan kartun semata-mata?

Bayam atau nama saintifiknya, Spinacia oleracea, adalah salah satu sayuran hijau paling popular di dunia kerana ia merupakan sumber yang kaya dengan mineral, vitamin, zat besi, protein dan pigmen.

Ia juga tinggi fitonutrien – turut dikenali sebagai fitokimia, iaitu satu komponen yang bertanggungjawab memberikan warna, rasa, dan aroma untuk sesuatu jenis makanan, tetapi dalam masa yang sama rendah kalori. 

Sayuran berdaun hijau ini dianggap sebagai superfood, kerana ia merupakan sejenis sayuran yang menawarkan pelbagai faedah dan manfaat kesihatan seperti penjagaan kulit, memberikan penglihatan yang lebih baik, menjadikan tekanan darah lebih terkawal, menguatkan otot dan membantu mencegah degenerasi makula yang berkaitan dengan usia (AMD) serta hemofilia.

Faedah kesihatan lain yang mungkin akan diperolehi buat individu yang memakan sayuran ini adalah ia membantu meningkatkan kawalan glukosa darah pada individu yang menghidap kencing manis, mengurangkan risiko kanser dan meningkatkan kesihatan tulang.

Berasal daripada keluarga sayuran Amaranthaceae, bayam merupakan antara sayuran yang amat digalakkan untuk diambil setiap hari secara teratur dalam pengambilan diet pemakanan harian anda. 

Sayuran berdaun hijau ini boleh dimakan mentah, dengan menjadikannya sebagai salad atau dihidangkan dalam pelbagai jenis masakan, sama ada sup, ataupun sayuran goreng.

Ia dipercayai berasal dari Timur Tengah dan ditanam ribuan tahun lalu di Persia, yang kini dikenali sebagai Iran. Kemudian, sayuran ini dikatakan dibawa masuk ke China dan menuju ke Eropah, yang akhirnya menjadi bahan makanan ruji bagi sesetengah negara. 

Fakta tentang manfaat bayam

Pelbagai manfaat bayam daripada aspek kesihatan boleh diperolehi daripada sayuran ini disebabkan kehadiran mineral, vitamin, pigmen dan fitonutrien, seperti kalium, zink, magnesium, zat besi dan kalsium.

Menurut United States Department of Agriculture (USDA), sayuran berdaun hijau adalah sumber vitamin seperti folat, niasin, vitamin A, vitamin B6, vitamin C, dan vitamin K. Unsur nutrien lain dalam sayuran ini adalah seperti tiamin dan riboflavin yang mempunyai peranan penting dalam pelbagai tindak balas badan.

  • USDA mencadangkan pengambilan 100 gram hidangan bayam yang mengandungo 28.1 mikrogram vitamin C, dalam 34% daripada pengambilan harian yang disyorkan (RDI).
  • Terdapat beberapa pilihan jenis bayam, antaranya bayam savoy (savoy spinach), flat spinach dan bayam semi savoy (semi-savoy spinach).

Bayam Sayuran Hijau Penuh Khasiat - manfaat

Manfaat bayam daripada aspek kesihatan 

Sayuran dengan nama saintifik Spinacia oleracea ini memainkan peranan penting dalam membantu mengekalkan kesihatan badan. Antara manfaat bayam yang boleh diperolehi adalah:

  1. Memperbaiki penglihatan

Menurut seorang penyelidik dari Universiti Cambridge, Helen M Rasmussen dalam laporannya pada 2013 yang diterbitkan dalam Clinical Interventions in Aging, mendedahkan bahawa sayuran ini adalah sumber kaya dengan beta-karoten, lutien dan xanthene – yang kesemuanya adalah sangat bermanfaat untuk penglihatan.

Beta-karoten yang terkandung dalam bayam mentah dapat membantu meningkatkan kesihatan mata. Ia juga boleh mencegah kekurangan vitamin A, mata gatal, ulser mata dan mata kering. Ciri-ciri antiradang yang terdapat dalam sayuran ini juga boleh membantu mengurangkan bengkak atau kerengsaan di mata.

Lutein dan zeaxanthin yang wujud dalam bayam bertindak sebagai antioksidan yang kuat, dengan itu ia dapat menghalang mata dari kesan buruk sinaran UV yang boleh menyebabkan katarak. Ia juga berfungsi untuk mengurangkan kesan radikal bebas, yang boleh menjadi punca utama katarak dan masalah keadaan mata yang lain. 

  1. Degenerasi makula

Degenerasi makula, AMD atau nama saintifik, Retinitis pigmentosa, boleh menyebabkan buta, disebabkan oleh generasi lutein dan xanthene yang merupakan bahagian tengah retina.

Dalam penulisan yang bertajuk Age‐related macular degeneration and recent developments mendedahkan bahawa pesakit dengan AMD, perlu mengambil sayuran berdaun hijau segar, khususnya bayam kerana ia mengandungi karotenoid serta antioksidan yang dapat mengurangkan kesan berbahaya radikal bebas.

Radikal bebas secara umumnya ia diketahui memberikan kesan buruk kepada penglihatan dan menyebabkan keadaan yang berkaitan dengan usia seperti glaukoma dan degenerasi makula.

  1. Faedah neurologi

Seorang penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Neurosurgeri dan Sains Fisiologi, University of California, Amerika Syarikat, Fernando Gómez-Pinilla, mencadangkan bahawa bayam dengan kapasiti antioksidan yang tinggi dikaitkan dengan aktiviti mitokondria, yang bertanggungjawab untuk mempengaruhi fungsi kognitif.

Beberapa komponen yang terdapat dalam sayuran ini seperti kalium, folat dan pelbagai antioksidan diketahui dapat memberikan manfaat kepada saraf bagi individu yang selalu memakannya.

Folat membantu mengurangkan perkembangan penyakit Alzheimer, jadi penggunaan bayam mungkin merupakan idea yang baik untuk individu yang berisiko masalah neural atau kognitif.

Kalium adalah bahagian integral dari kesihatan otak juga, dan ia dikaitkan dengan peningkatan aliran darah ke otak dan peningkatan kognisi, kepekatan dan aktiviti saraf.

  1. Melegakan simptom hemofilia

Bayam kaya dengan vitamin K yang membantu dalam pembekuan darah dengan menghasilkan prothrombin dan ini membantu mengurangkan simptom hemofilia. Manfaat bayam dalam aspek ini adalah ia dapat mengawal pendarahan yang berlebihan dan juga mengekalkan fungsi hati dengan merangsang pengeluaran glikogen.

Walau bagaimanapun, jika anda mengambil antikoagulan (anticoagulant) seperti ubatan Warfarin, dinasihatkan untuk tidak mengambil sayuran berdaun hijau ini dalam jumlah yang banyak.

Anda perlu berbincang dengan doktor anda atau pakar pemakanan mengenai jumlah pengambilan bayam serta memantau pengambilan vitamin K semasa mengambil Warfarin. 

manfaat bayam

  1. Mengekalkan tekanan darah

Bayam mengandungi jumlah kalium yang sangat tinggi dan tiada kandungan natrium jika ia diambil secara mentah. Komposisi mineral ini sangat bermanfaat untuk pesakit tekanan darah tinggi kerana kalium akan merendahkan tekanan darah, manakala natrium akan meningkatkan tekanan darah.

Folat yang terkandung dalam bayam juga menyumbang kepada pengurangan tekanan darah tinggi dan menenangkan saluran darah, dan dalam masa yang sama mengekalkan aliran darah yang betul.

Dengan mengurangkan tekanan darah dan menenangkan ketegangan saluran darah dan arteri, ia sekaligus mengurangkan tekanan pada sistem kardiovaskular dan meningkatkan aliran oksigen ke dalam sistem organ badan untuk memberikan fungsi yang optimum.

  1. Menguatkan otot

Faktor Coenzyme-Q10 (C0-Q10), yang merupakan antioksidan yang hadir dalam bayam, memainkan peranan penting dalam memperkuatkan otot, terutamanya otot pada bahagian jantung yang secara berterusan mengepam darah ke seluruh bahagian badan.

C0-Q10 turut berperanan untuk mencegah penyakit kardiovaskular seperti  hyperlipidemina, kegagalan jantung, hipertensi dan penyakit jantung koronari.

  1. Menguatkan tulang

Merupakan sumber terbaik bagi vitamin K, iaitu vitamin yang berfungsi untuk mengekalkan kalsium dalam ketumpatan tulang. Mineral lain seperti mangan, tembaga, magnesium, zink dan fosforus turut membantu dalam membina tulang yang kuat.

Ia sekaligus dalam mencegah dan menghalang seseorang daripada mengembangkan osteoporosis. Mineral ini juga penting untuk mengekalkan kesihatan gigi dan kuku yang sihat.

  1. Membantu sistem pencernaan

Dalam sebuah kertas penulisan bertajuk, ‘Antiulcer Activity of Aqueous Extract of Spinacia Oleracia in Rats’ yang diterbitkan dalam Journal of Research in Pharmacy and Chemistry, menyatakan antara manfaat bayam adalah keupayaannya untuk melindungi membran mukus perut, ia sekaligus mengurangkan risiko ulser gastrik.

Tambahan lagi, glycoglycerolipids yang terdapat dalam bayam boleh meningkatkan kekuatan lapisan saluran pencernaan, ia seterusnya dapat menghalang keradangan yang tidak diingini daripada berlaku di dalam badan.

  1. Mencegah Atherosclerosis

Atherosclerosis disebabkan oleh pengerasan pada arteri. Pigmen yang dipanggil lutein yang terdapat dalam bayam dipercayai dapat mengurangkan risiko kecenderungan untuk berlakunya atherosclerosis, serangan jantung dan strok (angin ahmar).

Ini kerana terdapat fakta yang menyatakan protein bayam cenderung untuk mengurangkan kolesterol dan deposit lemak lain di dalam saluran darah.

sayuran berdaun hijau

  1. Membantu perkembangan fetus

Folat yang terdapat dalam bayam diperlukan oleh janin yang semakin membesar dan membantu untuk perkembangan sistem saraf yang betul. Kecacatan seperti spina bifida, iaitu saraf tunjang tidak berkembang dengan baik atau cleft palate, mungkin berlaku sekiranya kekurangan folat.

Tahap vitamin A yang tinggi di dalam bayam adalah amat disarankan untuk diambil setiap hari oleh ibu yang hamil dalam jumlah yang tinggi. Vitamin A adalah amat diperlukan untuk perkembangan paru-paru janin dengan betul dan ia juga boleh dipindahkan semasa penyusuan badan, jadi pengambilan bayam amat disaran untuk diteruskan  selepas bersalin.

  1. Mengurangkan keradangan

Terdapat banyak sebatian antiradang yang terdapat dalam sayuran berdaun hijau ini; lebih dari sedozen sebenarnya. Sebatian ini diklasifikasikan ke dalam kategori methylenedioxy flavonoid glucuronides, dan bayam merupakan salah satu daripada sayuran yang paling hebat dalam aspek mengurangkan keradangan di seluruh badan.

Ia bukan sahaja bermakna ia akan melindungi hati, tetapi juga mengurangkan keradangan dan kesakitan yang berkaitan dengan masalah kesihatan seperti arthritis dan gout, yang merupakan antara masalah kesihatan yang dihidapi berjuta-juta individu di seluruh dunia.

  1. Mengawal diabetes

Bayam mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai asid alpha-lipoik (alpha-lipoic acid) yang dipercayai dapat membantu menurunkan tahap glukosa menjadi lebih rendah, meningkatkan kepekaan insulin dan mencegah perubahan tekanan yang disebabkan oksidatif, tekanan kepada pesakit diabetes.

Kajian tentang asid alpha-lipoik juga menunjukkan penurunan dalam neuropati periferal dan neuropati autonomi kepada pesakit kencing manis.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Artikel lain untuk anda

7 Resepi GERENTI SIAP 30 MINIT, Jom Tukar Menu Masakan Anda Minggu Ini!

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Diterbitkan pada 20/03/2020 . 5 minit bacaan

AWAS! Jangan Ambil 5 Makanan Sihat Ini Masa Anda Sakit Di Rumah! #StayAtHome

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
Diterbitkan pada 09/03/2020 . 3 minit bacaan
makanan terbaik merawat kanser

Pesakit Kanser Perlu Ambil 7 Makanan Ini Setiap Hari, Baru Tenaga Bertambah Baik!

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Amy
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Diterbitkan pada 27/03/2019 . 2 minit bacaan