
Ramai dalam kalangan wanita segan tetapi diam-diam ingin tahu petua hilangkan bau miss V secara semula jadi.
Lagi-lagi mereka yang sudah berkahwin, tentu akan rasa malu ketika bersama dengan suami jikalau ada masalah faraj berbau kurang enak.
Walau bagaimanapun, para wanita harus tahu bahawa kadangkala jika miss v berbau, ia merupakan satu keadaan yang normal.
Mari kita kupas isu ini selanjutnya mengenai bau faraj serta petua hilangkan bau miss V secara semula jadi.
Normalkah jika bau faraj?
Jawapannya, ya.
Tidak semua bau faraj harus dirisaukan. Selalunya, bau faraj akan bertukar intensitinya sepanjang kitaran haid, dan biasanya lebih kuat selepas bersenggama.
Bau faraj terjadi dengan kombinasi lendiran daripada faraj, kelenjar peluh di sekitarnya dan baki air kencing. Jika faraj anda berbau ringan sahaja, ia normal.
Faraj wanita mempunyai sistem pembersihan yang tersendiri. Walaupun telah dibersihkan dengan sabun atau air, faraj akan kembali berbau lagi setelah beberapa jam hasil daripada kombinasi cecair yang dinyatakan di atas.
Petua hilangkan bau miss V
Walaupun faraj berbau itu normal, tapi bagi wanita yang rasa tidak selesa dengan bau yang menyengat, ada cara tradisional untuk tanganinya seperti dicadangkan dalam perubatan Melayu lama.
Berikut cara tradisional bagi merawat masalah faraj berbau dengan menggunakan herba.
Daun kemangi
Daun Kemangi atau lebih dikenali sebagai daun basil, bersifat antibakteria dan antioksidan kerana mengandungi komposisi bahan kimia semula jadi eugenol di dalamnya.
Jika diletakkan dalam makanan atau minuman anda selang 2 minggu, ia mampu membantu untuk membasmi kuman dan mengelakkan faraj berbau.
Namun, daun kemangi tidak digalakkan untuk dicampurkan dengan sabun kerana faktor risiko untuk faraj menjadi kering.
Daun sirih
Seperti daun kemangi, daun sirih juga mempunyai komposisi eugenol yang mampu membantu membasmi kuman dan mengelakkan faraj dari berbau.
Selalunya, daun sirih akan direbus selama 10 minit sehingga pekat bagi mendapatkan ekstrak dan pati eugenol.
Setelah dibiarkan sejuk, air sirih tersebut boleh digunakan sebagai pencuci faraj semasa mandi.
Petua hilangkan bau miss V: Gunakan daun pandan
Selain daripada mengandungi eugenol juga, daun pandan ternyata mempunyai bau wangian yang tersendiri.
Seperti daun kemangi, daun pandan selalunya dijadikan minuman.
Setelah dicuci, daun pandan akan ditumbuk secara halus. Selepas itu, ia akan ditapis untuk mengambil hanya airnya.
Rasanya memang kelat sedikit, tetapi jika dicampurkan dengan sesudu madu dan disejukkan, ia sedap untuk diminum.
Air pandan disyorkan untuk diminum setiap hari selama tempoh 2 minggu yang pertama, dan jika ia berkesan, boleh dikurangkan kepada kadar 2 atau 3 kali seminggu.
Lidah buaya
Lidah buaya atau aloe vera telah banyak digunakan dalam bidang farmaseutikal organik kini.
Komposisi kimia semula jadi yang ada dalam lidah buaya mampu membantu mengelakkan faraj berbau.
Cara menggunakannya sama seperti daun pandan di mana anda perlu menumbuk atau mengisar daun lidah buaya sehingga halus.
Kemudian tapiskan lendirannya dan minum bersama sesudu madu.
Minuman kesihatan ini boleh diamalkan setiap hari selama 2 minggu, dan jika bau faraj anda berkurangan, bolehlah diamalkan 2 atau 3 kali seminggu.
Kacip fatimah
Kacip fatimah telah digunakan dalam perubatan melayu berzaman lamanya. Bukan saja bersifat antioksidan yang tinggi, tumbuhan ini juga membantu dalam pembentukan kolagen kulit.
Ia selalu dijadikan minuman seperti yang telah banyak dikomersialkan. Anda pun boleh membuat minuman sendiri di rumah.
Pertama, bersihkan 2 hingga 3 inci akar kacip fatimah dan rebuskan dalam air sehingga air rebusan menjadi separuh.
Campurkan sesudu atau dua sudu besar ke dalam gelas yang berisi air kosong dan sesudu madu.
Minuman ini boleh diamalkan setiap malam sehingga tiada lagi masalah faraj berbau.
Faraj berbau, usah risau lagi
Herba-herba yang dijelaskan mampu membantu menangani masalah faraj berbau dan kini banyak disokong oleh kajian sains.
Namun begitu, anda harus tahu bahawa pemakanan memainkan peranan penting juga.
Elakkan mengambil makanan yang berbau kuat seperti bawang mentah, petai dan jering.
Amalkan pula makanan yang kaya dengan probiotik untuk menyokong pembiakan kuman baik di faraj anda seperti yogurt, tempe dan sebagainya.
Jika masalah berlarutan bersama simptom lain, sila dapatkan rawatan daripada pegawai perubatan anda.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.