backup og meta

Sakitnya Bila Ada Ulser Dalam Mulut, Cuba 6 Cara Ini Rawat 'Mata Ikan' Di Rumah!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 31/01/2024

    Sakitnya Bila Ada Ulser Dalam Mulut, Cuba 6 Cara Ini Rawat 'Mata Ikan' Di Rumah!

    Ulser mulut atau mata ikan boleh jadi amat menyakitkan terutamanya jika ia berlaku pada kawasan yang terdedah dengan makanan atau gigi. Ia mungkin kelihatan kecil tapi kepedihannya kadangkala tidak tertanggung!

    Ukuran ulser mulut biasanya hanya kira-kira 2 sehingga 3mm tetapi ia masih mampu untuk mengganggu rutin harian seseorang individu.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkannya di sini.

    Pembentukan ulser di dalam mulut

    Kenapa banyak ulser dalam mulut?

    Ulser berlaku apabila lapisan permukaan kulit terhakis meninggalkan lapisan dalam di mana deria kesakitan akan lebih terdedah. Namun, punca kejadian yang spesifik masih belum diketahui.

    Sebilangan ulser terjadi ketika kita secara tidak sengaja menggigit bahagian dalam pipi, apabila badan kekurangan air dan atas pelbagai sebab yang lain.

    Dalam kes mempunyai ulser berulang, ia dapat dikaitkan dengan faktor genetik tetapi sistem kekebalan badan juga mungkin memainkan peranan.

    Apa punca berlakunya mata ikan?

    mata ikan
    Contoh ulser yang biasa berlaku pada bibir.

    Ulser mulut boleh disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk:

  • Tergigit bahagian dalam pipi secara tidak sengaja
  • Kecederaan ketika memberus gigi
  • Pemakaian gigi palsu atau pendakap gigi
  • Tidak menjaga kebersihan mulut
  • Akibat melecur kerana makan makanan panas
  • Berlaku kerengsaan akibat menggunakan antiseptik yang kuat seperti ubat kumur
  • Jangkitan virus seperti virus herpes simplex
  • Mengalami reaksi terhadap ubat-ubatan tertentu
  • Ruam kulit di mulut (lichen planus)
  • Penyakit autoimun
  • Penyakit gastrousus seperti penyakit Crohn
  • Kanser mulut
  • Berapa lama ulser biasanya berlaku?

    Luka ulser (ulser aphthous) boleh berlaku di dalam mulut seperti pada bahagian pipi, lidah serta gusi anda.

    Walaupun ia menyakitkan dan menyukarkan seseorang individu untuk bercakap atau makan, ulser kebiasaannya tidak akan menyebabkan kesakitan yang berpanjangan.

    Ini kerana, sebilangan besar ulser di dalam mulut akan sembuh secara sendiri dalam masa beberapa hari atau minggu, bergantung pada saiz dan tahap keparahan.

    Jangan risau! Beberapa rawatan dapat membantu mempercepatkan proses penyembuhan dan ia juga boleh dilakukan di rumah!

    Ini cara-cara rawatan semula jadi merawat mata ikan

    #1 Cara rawat mata ikan letak garam

    Kadangkala, cara termudah untuk merawat masalah ulser hanya dengan menggunakan garam!

    Cara penggunaan:

    • Larutkan 1 sudu teh garam dalam 1/2 cawan air suam
    • Kumur larutan ini selama 15 sehingga 30 saat, kemudian buangkannya
    • Ulanginya setiap beberapa jam mengikut keperluan

    Membilas mulut dengan air garam mampu menjadi salah satu cara semula jadi dalam merawat masalah ini, walaupun menyakitkan, ia dapat membantu mengeringkan ulser mulut.

    #2 Soda penaik

    Bahan ini dianggap dapat mengembalikan keseimbangan pH dan mengurangkan masalah keradangan, yang dapat menyembuhkan mata ikan.

    Cara penggunaan:

    • Larutkan 1 sudu teh baking soda dalam 1/2 cawan air
    • Kumur larutan ini selama 15 sehingga 30 saat, kemudian buangkannya
    • Ulangi setiap beberapa jam mengikut keperluan

    Baking soda tidak akan membahayakan kesihatan anda jika ditelan, tetapi ia berasa sangat masin, jadi pastikan anda bersiap-sedia untuk menghadapi rasa tersebut ya!

    mata ikan
    Antara tanda-tanda awal kanser lidah.

    #3 Madu

    Madu terkenal dengan elemen antibakteria dan antiradang. Menurut kajian, madu berkesan untuk mengurangkan sakit, mengecilkan, dan meredakan kemerahan ulser.

    Cara untuk menggunakannya cukup senang, hanya sapukan madu pada tempat yang sakit 4 kali sehari.

    Namun, anda harus beringat kerana tidak semua madu diciptakan sama. Sebilangan besar madu yang terdapat di kedai runcit telah dipasteur pada suhu tinggi, yang merosakkan kebanyakan nutrien.

    Madu yang tidak dipasteur dan tidak ditapis, seperti madu Manuka akan mengekalkan sifat penyembuhannya.

    #4 Minyak kelapa boleh melegakan mata ikan

    Penyelidikan telah membuktikan minyak kelapa mempunyai kemampuan antimikroba. Ia boleh menyembuhkan ulser yang disebabkan oleh bakteria dan mencegahnya daripada merebak.

    Minyak kelapa juga bersifat antiradang secara semula jadi dan dapat membantu mengurangkan kemerahan dan kesakitan. Rasanya juga sedap!

    Untuk menggunakannya, sapukan minyak kelapa dengan lembut pada kawasan yang sakit. Ulangi sehingga ulser anda mulai sembuh.

    #5 Suplemen vitamin B kompleks

    Kebarangkalian untuk mendapat ulser mungkin lebih kerap berlaku sekiranya anda mempunyai diet rendah vitamin B-12.

    Menurut kajian, individu yang mengambil 1,000 mikrogram vitamin B-12 setiap hari mempunyai lebih sedikit kebarangkalian untuk mendapat ulser.

    Tetapi, makanan tambahan vitamin B kompleks mampu menyebabkan kesan sampingan, justeru berjumpalah dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

    #6 Minum banyak air

    mata ikan
    Minum air untuk legakan masalah ulser.

    Untuk proses penyembuhan yang lebih cepat, penting untuk memastikan badan anda cukup air dan terhidrat.

    8 gelas air atau lebih setiap hari diperlukan dalam proses penyembuhan mata ikan.

    Bilakah anda harus bertemu doktor?

    Kebanyakan kejadian ulser mulut tidak membimbangkan. Ia juga jarang meninggalkan kesan sampingan yang berpanjangan.

    Namun begitu, anda masih harus berhati-hati kerana beberapa jenis ulser memerlukan rawatan daripada yang pakar.

    Dapatkan konsultasi doktor jika anda mengalami salah satu daripada kondisi berikut:

    • Sakitnya lebih parah daripada biasa
    • Mempunyai banyak luka
    • Luka baru terbentuk sebelum ulser yang lama sembuh
    • Ulser tidak sembuh selepas tempoh masa 2 minggu
    • Ulser merebak ke bibir
    • Mengalami kesakitan yang teruk
    • Demam

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 31/01/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan