backup og meta

Mengharungi Sekolah Perubatan Dengan Depresi

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 03/12/2019

    Mengharungi Sekolah Perubatan Dengan Depresi

    “Berusaha! Cari sebab kenapa kita kena bersyukur setiap hari!” demikianlah nasihat yang sering diungkapkan oleh ibu semenjak saya berusia 20 tahun. Jika mahu dibandingkan dengan sahabat seusia, saya merupakan seorang yang gagal di mata mereka. Oh, mungkin tidak. Mungkin itu saya sendiri. Mungkin saya yang beranggapan sebegitu. Namun, siapa di dunia ini yang dapat membaca pemikiran orang lain? 

    Hitam dan Putih

    “Awak ada depresi yang teruk”. Hancur hati ini apabila diberitahu tentang diagnosis doktor yang merawat saya pada tahun 2015 di sebuah hospital mengajar di Kuala Lumpur. Pada ketika itu saya merupakan pelajar perubatan tahun 2 di universiti tempatan. Apa yang perlu saya buat sekarang? Saya hanya mampu termenung mengenangkan nasib diri. Sambil menunggu giliran untuk mengambil ubat, saya hanya memikirkan natijahnya jika saya menjadi pegawai perubatan kelak.

    Doktor bukan tuhan tetapi pesakit selalu menganggap sedemikian. “Doktor apa yang sakit”, “Ala, doktor pun sakit jugak ke?”. Mereka lupa, di sebalik luaran yang sentiasa tersenyum ini, tersimpan duka yang tidak terubat. Apabila saya memberitahu ibu saya berkenaan dengannya, keluar satu ayat yang betul-betul memberi kesan negatif. “Kamu tak solat ke?”. Adakah ini hukuman untuk dosa-dosa yang lalu atau satu ujian?

    Mengimbau kenangan silam

    Saya telah dibesarkan oleh keluarga angkat di Kuala Kubu Bharu semasa kecil, tidak seperti orang lain. Apabila usia mencecah 18 tahun, saya tinggal semula bersama dengan keluarga sendiri. Gembira, itu merupakan ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan perasaan dapat tinggal bersama dengan keluarga sendiri namun kegembiraan itu tidak kekal. 2 tahun berlalu dan segala peristiwa yang berlaku dalam tempoh tersebut masih samar-samar di ingatan. 

    Apa yang masih jelas adalah pada tahun 2012, ayah telah membuat keputusan untuk menceraikan ibu dan meninggalkan kami, saya gagal untuk memenuhi syarat untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Ireland dan kekasih hati yang ketika dahulunya berjanji untuk sehidup semati, pergi meninggalkan diri tanpa sepatah kata. Namun, walaupun kesemuanya berlaku pada tahun dan bulan yang sama, saya masih tersenyum. Masih positif. Masih yakin bahawa ada rezeki lain sedang menunggu. Apa yang perlu adalah usaha.

    Nasihat ibu masih jelas kedengaran di telinga. Berusaha! Berat kaki untuk melangkah pergi jauh namun dikuatkan semangat untuk ke Pulau Pinang, mendaftar di universiti swasta dengan harapan, permulaan baru dapat memberikan semangat baru. Namun, setelah 2 tahun belajar di sana, universiti jatuh bankrap. Pelajar berkumpul, membantah namun syukur, masih ada alternatif lain. Saya dan rakan-rakan diserap masuk ke dalam bidang perubatan di universiti tempatan untuk menghabiskan sisa pengajian yang berbaki 4 tahun.

    depresi

    Bangkit dan jatuh semula

    Tatkala anda menadah tangan, berdoa, apa yang anda doakan? Cabaran menjadi lebih mudah? Saya tak dapat mengira berapa kali saya mendoakan perkara yang sama namun depresi membuatkan segalanya menjadi negatif. Setiap kali bangun tidur, dunia kelihatan malap, gelap dan tidak ceria, badan sentiasa sakit dan saya tidak larat untuk bergerak ke kelas. Bayangkan perkara tersebut terjadi sepanjang tempoh 4 tahun anda belajar di sekolah perubatan. Kesannya? Saya gagal dalam peperiksaan akhir tahun 4 dan dikehendaki untuk mengulang tahun.

    Pada ketika ini, buat pertama kalinya, saya putus asa. Jubah graduasi kelihatan jauh tak tergapai dek tangan. Saya menangis mengenangkan realiti yang kini, saya, berseorangan. Namun digagahkan diri untuk hadir ke kelas. Biar lambat, asal sampai. Keluarga masih tidak faham, namun hidup perlu diteruskan. Seorang demi seorang pergi meninggalkan diri. Yang setia menunggu? Hanyalah Sang Pencipta.

    Penat

    Sampai satu ketika, kita akan penat. Penat dengan kesusahan yang tiada penghujungnya. Penat kerana didatangi oleh manusia yang tidak memahami diri. Saya merupakan seorang yang positif. Walau seteruk mana pun musibah yang melanda, saya cuba sedaya upaya untuk mencari kebaikan daripada situasi tersebut. Apakah rahsia untuk mudah melawan depresi? Tiada. Tiada rahsia untuk memudahkannya. Jangan berdoa untuk dipermudahkan cabaran, doa agar diperkuatkan diri untuk menghadapi cabaran. Jika tuhan percaya kita mampu, mengapa kita tidak?

    Rakan-rakan boleh menjadi tunjang utama dalam melawan depresi. Malangnya, saya hanya sedar perkara itu ketika saya berada di tahun akhir pengajian. Luahkan perasaan anda kepada mereka yang anda percaya. Mereka tidak akan faham sepenuhnya tapi percayalah, bukan pemahaman yang anda akan harapkan, cuma telinga yang mendengar. Anda tidak berseorangan! 

    Segulung ijazah yang lebih bermakna

    9 tahun. Itulah tempoh masa yang diambil oleh saya untuk kembali berdiri tegak setelah jatuh berkali-kali sebelum menamatkan pengajian sebagai seorang doktor perubatan. Depresi adalah merupakan penyakit yang serius dan pembunuh dalam senyap. Syukur kepada tuhan kerana dijadikan sebagai seorang hamba yang penakut. Takut untuk mengambil nyawa sendiri. Masyarakat semakin sedar akan kepentingan merawat penyakit mental namun anda sahaja yang faham bagaimana teruknya pengalaman menjadi seorang yang mempunyai sakit mental. Pengalaman berbeza bagi setiap individu.

    Jika anda seorang yang mempunyai penyakit mental, kuatkan semangat! Walau sakit mana pun terjatuh, jangan duduk selama-lamanya. Bangkit dan mara ke hadapan. Usah difikirkan tentang pendapat orang berkenaan dengan hidup anda. Setiap orang akan merasai kegagalan namun di sebalik kegagalan tersebut, ada kejayaan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 03/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan