backup og meta

Nak Mental Kuat Ada Caranya! Ikut 5 Langkah Ini, Termasuk Mandi Air Sejuk Waktu Pagi!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 17/01/2023

    Nak Mental Kuat Ada Caranya! Ikut 5 Langkah Ini, Termasuk Mandi Air Sejuk Waktu Pagi!

    Adakah anda seorang yang bercita-cita tinggi ingin mencapai kejayaan besar dalam kehidupan? Adakah anda mempunyai kekuatan mental yang tinggi untuk merealisasikannya?

    Selain semangat yang tinggi, kekuatan mental juga memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan.

    Apa itu kekuatan mental?

    Istilah kekuatan mental merujuk kepada idea untuk mengatasi kegagalan masa lalu dengan kekal positif dan berdaya saing.

    Ia juga melibatkan latihan dan mempersiapkan mental untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang.

    Apabila perkara dirancang tidak berjalan dengan lancar atau seperti yang diharapkan, kita tidak mudah kehilangan fokus atau berputus asa.

    Secara ringkasnya, ketahanan mental digambarkan apabila kita terus bertahan dan kekal positif melalui kesukaran yang dihadapi.

    Mempunyai mental yang kuat adalah dengan tidak membiarkan tekanan hidup menjatuhkan diri, sebaliknya individu itu belajar menguruskan tekanan dengan cara yang positif, serta berupaya bangkit semula.

    Justeru, adakah kekuatan mental sesuatu yang boleh diasah atau kita pelajari?

    Ternyata, jawapannya adalah ya! Penulis bakal mendedahkan latihan yang boleh dilakukan untuk membentuk kekuatan mental. Jom baca!

    Latihan-latihan menguatkan mental

    #1 Mandi air sejuk

    lelaki-mandi

    Mandi air sejuk pun boleh menguatkan mental? Biar betul?

    Menurut pakar, ketika kita mandi air yang sejuk, akan berlaku peningkatan dalam fungsi endokrin, peredaran limfa yang meningkatkan sistem imunisasi tubuh, dan peredaran darah.

    Dalam tradisi senaman yoga, mandi air sejuk adalah bahagian yang disarankan dalam rutin pagi setiap hari.

    Ia turut bantu membawa darah ke kapilari, menguatkan sistem saraf, dan membina ketahanan mental.

    #2 Jangan terus makan apabila lapar, tunggu dahulu

    Taktik mudah yang lain untuk membina toleransi dengan perasaan tidak selesa dan kawalan impuls adalah dengan membiarkan diri anda berasa lapar tanpa mengambil makanan ringan.

    Menurut ahli psikologi di Chicago, Paul Losoff, menahan kelaparan selama 5 hingga 10 minit sebelum makan akan membina kesabaran.

    Sekiranya anda berjaya menahan diri saat kelaparan, potensi untuk anda menempuh cabaran hidup dikatakan akan menjadi lebih baik.

    #3 Lakukan perkara yang anda enggan lakukan (selama 10 minit)

    Cuba paksa diri anda untuk melakukan perkara yang tidak mahu dilakukan sama ada bersenam atau belajar sekurang-kurangnya selama 10 minit.

    Anda dibenarkan berhenti dalam tempoh tersebut, tetapi kebarangkalian untuk meneruskannya adalah tinggi kerana proses memulakan suatu perkara adalah lebih sukar.

    Latihan ini bertujuan untuk melatih otak bahawa anda tidak perlu bertindak balas terhadap perasaan anda.

    Hanya kerana anda tidak mahu melakukannya, tidak bermakna anda tidak boleh buat.

    Anda adalah lebih kuat daripada yang anda sangkakan!

    #4 Hadapi perasaan anda

    Apabila anda mula berasa kesepian, marah, cemas, sedih, takut, atau cemburu, cuba berhenti sebentar.

    Perhatikan tindakan diri jika anda hendak mengambil telefon untuk melayari Instagram, memeriksa e-mel, atau sebagainya.

    Cuba lawan keinginan tersebut dan sebaliknya, duduk atau berbaring dan tutup mata anda.

    Perhatikan sama ada anda dapat merasai sebarang sensasi fizikal yang berlaku dek emosi yang dirasai.

    Adakah anda merasakan sesak di dada? Berdebar-debar?

    Apa sahaja sensasi yang anda rasai, cuba hadapi perasaan tersebut sepenuhnya walaupun ia mungkin menyakitkan.

    Kekal dengan perasaan fizikal tersebut selama beberapa minit. Kemudian, tanya pada diri sendiri apa yang tubuh anda cuba ‘beritahu.’

    Kedengarannya aneh bukan? Namun menurut pakar, ia adalah latihan yang digunakan dalam psikologi berasaskan somatik serta amalan yoga kuno.

    Hasilnya, ia bakal membuka mata kalian dan akan menghalang diri daripada melakukan tabiat buruk seperti mengabaikan perasaan yang dialami, yang boleh memakan diri.

    Tambahan lagi, latihan ini bukan sahaja membina ketahanan mental, tetapi juga memperbaiki hubungan, bantu menyembuhkan trauma lama, membolehkan anda melepaskan tabiat buruk, dan membawa perkembangan peribadi ke tahap yang seterusnya.

    #5 Melatih minda positif

    positif

    Sekiranya anda ingin meningkatkan kekuatan mental dan menguruskan tekanan dengan baik, perkara pertama yang harus dilakukan adalah memberi tumpuan untuk membina minda positif yang kuat dalam kehidupan seharian.

    Mempunyai pemikiran yang negatif ini boleh diumpamakan seperti mendaki bukit dengan beg galas yang dipenuhi batu, pasti berat bukan?

    Aktiviti mendaki itu sendiri sudah cukup sukar, ditambah pula dengan bebanan tambahan boleh memudaratkan malah menyekat anda daripada sampai ke puncak!

    Kadangkala, membina ketahanan mental bukanlah hanya dengan mencabar limit diri tetapi untuk menyimpan kekuatan anda buat tugasan yang bersesuaian.

    Bukankah lebih mudah untuk membuang batu daripada beg galas berbanding memaksa diri menanggung berat tambahan? Fikir-fikirkan ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan