backup og meta

Mengapa “Berfikir Secara Positif” Tidak Selalunya Positif?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/07/2020

    Mengapa “Berfikir Secara Positif” Tidak Selalunya Positif?

    “Cuba fikir positif sikit…”

    “Fikir positif lah…”

    Adakah dengan berfikir secara positif boleh menyelesaikan isu atau situasi anda? Bagaimana pula jika ‘berfikir secara positif’ ini boleh memberikan kesan yang negatif pula? Mungkin anda tidak begitu jelas, bagaimana galakan untuk berfikir secara positif ini tidak selalunya menjadi seperti yang kita harapkan. Apatah lagi jika kami katakan ia boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental anda. Ketahui bagaimana berfikiran positif kadangkala boleh menjadi negatif melalui artikel ini.

    Mengapa “berfikir secara positif” boleh menjadi negatif?

    Berpandangan positif secara umumnya bukanlah sesuatu yang buruk. Walau bagaimanapun, frasa “berfikir atau menjadi positif” itu sendiri mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan mental kita. Walaupun kita mempunyai niat yang baik tatkala menggunakan frasa ini, penting juga untuk kita mengetahui potensi kesan negatif daripada penggunaan frasa ini. Antara sebabnya ialah:

    #1. Mengandaikan sesuatu yang “buruk” telah berlaku

    Manusia cenderung untuk mempunyai tanggapan tertentu terhadap perkara-perkara yang berlaku ke atas diri mereka. Kadangkala, sesuatu yang diandaikan itu tidaklah benar-benar berlaku, tetapi isu persepsi kita yang sentiasa mengandaikan sesuatu secara negatif. Sekiranya kita menganggap sesuatu itu sebagai perkara yang buruk, maka reaksi emosi yang negatif akan muncul. Oleh sebab itu, wujudnya keperluan untuk “berfikir secara positif” bagi menguruskan atau mengatasi emosi negatif yang muncul.

    Walau bagaimanapun, ia adalah sangat membantu sekiranya kita mengangggap sesuatu yang berlaku itu sebagai satu peringatan, dan bukannya sesuatu yang “buruk”. Ini kerana jika kita mengelakkan diri kita daripada menggunakan persepsi negatif, kita juga sebenarnya telah menyingkirkan sebarang tekanan yang berkaitan dengan bebanan untuk “berfikir secara positif”. Jika anda menganggap sesuatu perkara yang berlaku itu sebagai peringatan, maka reaksi emosi negatif tidak akan muncul dan tiada keperluan untuk “berfikir secara positif”.

    #2. Memberikan banyak tekanan terhadap seseorang individu, dengan anggapan emosi boleh ditukar dengan mudah

    Untuk pengetahuan anda, pengurusan emosi bukanlah semudah anda menentukan menu untuk dimakan oleh keluarga anda hari ni. Emosi adalah reaksi kompleks yang tidak boleh dikawal dengan mudah dengan hanya sepotong ayat. Contohnya, anda menyuruh rakan anda yang sedang sedih untuk berasa gembira. Adakah dia akan terus berhenti sedih dan terus menukarkan emosinya kepada perasaan gembira? Anda pasti tahu ia tidak semudah itu. Malah ia mungkin akan bertambah teruk kerana rakan anda akan merasakan bahawa anda sedang menghakiminya lalu membuatnya berasa bersalah. Kesannya? Emosi rakan anda akan menjadi lebih terganggu dan semakin teruk.

    Anda tidak perlu risau kerana perubahan emosi adalah sesuatu yang bersifat sementara. Oleh itu, selain daripada mengucapkan kata-kata seperti “cubalah positif” kepada rakan anda, adalah lebih baik untuk anda menerima apa yang dirasai oleh seseorang individu tersebut. Bersikaplah secara empati dan tidak menghakimi seseorang. Bantu rakan anda melalui fasa kesukaran yang dialami secara bersama-sama sehinggalah dia melepasinya.

    #3. Menggalakkan pemikiran hitam dan putih (black-and-white thinking)

    Pemikiran hitam dan putih juga disebut sebagai all-or-nothing thinking atau splitting. Ia adalah kegagalan dalam pemikiran seseorang untuk membawa bersama perbezaan ciri-ciri positif dan negatif untuk menjadikannya bersatu padu dan realisitik. Secara mudahnya, ia bermaksud kecenderungan untuk berfikir secara ekstrem.

    Pemikiran seperti ini adalah satu perangkap yang menjadikan anda berfikir secara tidak rasional sehingga boleh menyebabkan kemurungan dan keresahan melampau. Apabila kita mempunyai tanggapan penghakiman sebegini terhadap diri kita sendiri, emosi negatif akan muncul. Oleh kerana itu, anda tidak boleh menganggap bahawa kesemuanya hanya berwarna hitam dan putih. Adakalanya, hidup anda memiliki warna-warna lain seperti kelabu yang sepatutnya anda terima.  

    #4. Ia memalukan seseorang

    Penggunaan frasa seperti “berfikirlah secara positif” atau “jadilah seorang yang positif” secara berlebihan akan memalukan individu yang sedang merasai sesuatu emosi yang negatif seperti kesedihan, depresi dan juga keresahan. Frasa “jadilah atau berfikirlah secara positif” kedengaran seperti satu arahan dan bukanlah galakan. Ia juga sering dipromosikan sebagai perkara yang sering dilakukan oleh mereka yang berjaya dan gembira. Bagi mereka yang sedang bergelut dengan emosi negatif, frasa ini boleh membuatkan mereka berasa malu, kerana mereka kelihatan seperti gagal dalam kehidupan mereka tidak seperti individu lain.

    #5. Ia memandang rendah penderitaan yang dialami seseorang

    Tiada siapa yang suka dengan penderitaan emosi kerana ketidakselesaan emosi adalah satu perkara yang agak mengerikan. Kadangkala emosi kita menafikan perasaan ini dengan cara untuk menjadi lebih positif. Walau bagaimanapun, perkembangan psikologi dan juga emosi boleh juga terhasil daripada pembelajaran bagaimana untuk menerima dan menjalani waktu-waktu sukar yang dialami. Hasilnya, ia juga akan menjadikan kita memiliki hubungan yang lebih sihat kerana kita telah belajar untuk menjadi lebih sensitif dan empati terhadap masalah emosi yang dialami oleh individu lain. 

    #6. Berlakunya paksaan emosi

    Mungkin mudah untuk mengungkap kata-kata seperti “cubalah berfikiran positif”, tetapi pengaplikasiannya tidak begitu mudah seperti yang disangka. Mengapa? Emosi adalah satu perkara yang tidak boleh dilihat apatah lagi dipegang dan dikawal. Frasa seperti ini seolah-olah memaksa seseorang untuk menjadi lebih baik, dan pada akhirnya, memaksa individu tersebut untuk menukar emosinya sebagai cubaan untuk menjadi lebih baik.

    Disinilah berlakunya paksaan emosi yang sebenarnya tidak direlakan oleh individu tersebut. Hasilnya, bukan hasil positif yang diharapkan berlaku malah ia menjadi lebih buruk daripada sebelumnya. Empati adalah kunci bagi membantu individu yang sedang memiliki emosi negatif. Apa yang anda alami tidak sama seperti apa yang mereka alami. Oleh itu, pemahaman terhadap emosi yang dialami oleh individu lain amatlah penting.

    Kesimpulan

    Kita mungkin menunjukkan senyuman yang sama setiap hari, tetapi emosi yang kita miliki pastinya amat berbeza. Ada individu yang sedang bergembira pada hari ini, tetapi ada juga individu yang sedang mengalami kekeliruan emosi dan kesedihan akibat sesuatu yang menimpanya. Anda mungkin berniat menghulurkan tangan untuk membantu mereka yang sedang berhadapan dengan waktu-waktu sukar, tetapi adalah lebih baik jika anda mengetahui cara yang paling tepat untuk menghulurkan bantuan. Kita tidak mahu jika masalah yang ingin diselesaikan akan bertukar menjadi timbunan masalah yang baharu kepada individu yang terjejas ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan