UICC seru bandar raya Asia rombak rawatan kanser dalam fasa seterusnya Cabaran Kanser Bandar Raya

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 05/12/2019 . 3 minit bacaan
Share now

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2018 – Kesatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) hari ini melancarkan fasa seterusnya bagi inisiatif global, Cabaran Kanser Bandar Raya (City Cancer Challenge), dengan menjemput bandar raya di seluruh Asia untuk mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan capaian kepada perkhidmatan kanser yang berkualiti.

Berucap di Sidang Pemimpin Kanser Sedunia hari ini di Kuala Lumpur, Malaysia, Yang Amat Mulia Puteri Dina Mired dari Jordan, bakal Presiden UICC berkata, “Sesungguhnya peperangan menentang kanser ialah usaha yang amat penting. Kita menghadapi 18.1 juta kes kanser baharu dan lebih 9.6 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun dan lebih kurang separuh daripadanya berlaku di Asia. Angka ini diunjurkan meningkat dengan pantas dalam tempoh sepuluh tahun akan datang dan akan membawa implikasi serius kepada negara-negara dengan sumber yang terhad.”

YAM Puteri Dina menjelaskan, “Kami memulakan Cabaran Kanser Bandar Raya untuk menangani hakikat ini dan setahun selepas itu, kami mencapai kemajuan ketara di setiap satu daripada empat Bandar Raya Pembelajaran Penting kami, lantas mencetus anjakan paradigma yang besar dalam penjagaan kanser di peringkat tempatan. Usaha bersepadu bandar raya dan rakan kerjasama kami telah membolehkan kami memperhalusi metodologi inisiatif – baik penilaian keperluan mahupun menetapkan keutamaan, perancangan dan pembiayaan – supaya kita boleh mencapai kesan ketara dalam peperangan menentang kanser dalam skala yang lebih besar. Saya benar-benar berharap lebih banyak bandar raya akan menyertai kami untuk mengurangkan kemudaratan kanser bagi penduduk masing-masing.”

Memandangkan 54% daripada penduduk dunia hidup di kawasan bandar, dengan itu setiap bandar raya berada pada kedudukan unik untuk memacu inovasi kelestarian dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada kumpulan penduduk yang besar. Sejak pelancaran Cabaran Kanser Bandar Raya pada 2017, empat Bandar Raya Pembelajaran Penting telah menggembleng tenaga rangkaian global dan rakan tempatan inisiatif ini untuk menyusun dan melaksanakan rancangan tindakan tempatan, yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan setiap bandar raya. Rancangan ini berpotensi untuk menambah baik rawatan kanser bagi lebih 25 juta orang.

Sebagai langkah pertama pelaksanaan di Cali (Columbia), Cabaran Kanser Bandar Raya telah berganding bahu dengan Persatuan Patologi Klinikal Amerika (ASCP) untuk mengadakan siri bengkel untuk 60 profesional makmal yang memberikan bantuan teknikal demi menyokong keperluan bagi kawalan kualiti lebih baik, lantas mengukuhkan rangkaian makmal di seluruh rantau.

Penilaian keperluan di Asunción (Paraguay) menekankan tahap ketidakseragaman yang tinggi dalam sistem kesihatan tempatan, menyebabkan tahap penyelarasan yang kurang baik antara institusi penjagaan kesihatan, kos lebih tinggi dan ketidakseimbangan rawatan. Sebagai tindak balas langsung, Jawatankuasa Eksekutif Bandar Raya memperkenalkan Undang-Undang Kanser, iaitu rangka kerja undang-undang berasaskan hak bagi warganegara mendapatkan perkhidmatan kanser komprehensif. Undang-undang ini, yang meluputi semua perkhidmatan yang dikhususkan kepada rawatan kanser, kini sedang dinilai oleh suruhanjaya kesihatan Senat.

Usaha seperti ini juga sedang dilaksanakan di Kumasi (Ghana), yang berada dalam peringkat penilaian, dan Yangon (Myanmar), dengan Jawatankuasa Eksekutif Bandar Raya sedang giat meneliti penemuan penilaian untuk menyusun rancangan aktiviti bandar raya dalam usaha menentukan tindakan yang perlu diutamakan.

Berlandaskan kejayaan ini, fasa seterusnya Cabaran Kanser Bandar Raya akan meluaskan usaha program dengan memberi peluang kepada beberapa bandar raya yang turut bertekad untuk menambah baik penyelesaian penjagaan kanser untuk mendaftar sebagai “Bandar Raya Cabaran”. Seruan untuk membuat permohonan pada 2018 akan memberi tumpuan kepada penglibatan di Asia, dengan menjemput bandar raya di seluruh rantau ini yang mempunyai penduduk berjumlah lebih sejuta orang untuk menyertai inisiatif kami.

Sebagai rakan kerjasama penskalaan utama, Roche akan menyokong pertumbuhan inisiatif dengan berkongsi pengetahuannya dalam sistem perniagaan dan kepakaran perancangan perniagaan di samping memberikan sokongan kewangan yang diperlukan.

Mengulas mengenai kerjasama ini, Jörg Rupp, Pengarah, Kumpulan Kepimpinan Antarabangsa Roche Pharma berkata, “Kerja-kerja di empat bandar raya utama berjalan lancar dan kita sudah pun melihat kesan yang boleh dicapai apabila semua rakan kerjasama yang terlibat dalam bidang penjagaan kesihatan bergabung tenaga untuk mencapai matlamat bersama. Kami sukacita untuk berganding bahu dengan UICC untuk melanjutkan cabaran ini daripada empat kepada dua puluh empat bandar raya menjelang 2020 kerana kami benar-benar percaya pendekatan ini mampu mengubah sama sekali rawatan kanser dan hasil rawatan pesakit.”

Presiden UICC Sanchia Aranda berkata, “Usaha memahami bagaimana prinsip model kerjasama Cabaran Kanser Bandar Raya boleh dilaksanakan di pelbagai bandar raya kami memainkan peranan penting dalam kejayaannya. Dengan menyertai inisiatif ini untuk meningkatkan profil kanser dalam agenda politik mereka, Bandar Raya Cabaran boleh memanfaatkan keupayaan pakar-pakar kanser terkemuka dunia untuk meningkatkan kualiti rawatan bagi penduduk mereka. Mereka boleh berbangga untuk memaparkan usaha mereka sebagai sebahagian daripada pergerakan global untuk memainkan peranan aktif mengurangkan kematian awal akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) sebanyak satu pertiga menjelang 2030.”

Untuk butiran lanjut tentang Cabaran Kanser Bandar Raya dan maklumat tentang bagaimana bandar raya anda boleh menjadi Bandar Raya Cabaran, layari Senarai Semak Cabaran Kanser Bandar Raya di https://www.uicc.org/challenge-cities.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy

Baca juga:

    Artikel lain untuk anda

    Eksklusif: Perlu pengurusan sumber khusus dan cekap tangani kanser lebih berkesan

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Shahrul Izwan Naser
    Diterbitkan pada 17/10/2018 . 12 minit bacaan

    Sidang Kemuncak Pemimpin Kanser Dunia 2018 cabar pembuat dasar global untuk tingkatkan perkhidmatan kanser di seluruh negara

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Shahrul Izwan Naser
    Diterbitkan pada 01/10/2018 . 2 minit bacaan
    perspektif

    Nota Pengarang: Kongres Kanser Dunia 2018

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Shahrul Izwan Naser
    Diterbitkan pada 27/09/2018 . 4 minit bacaan