
Saya tahu apa yang bermain di fikiran anda – “Kita perlukan vaksin terhadap virus ini sebelum jalan-jalan di Kuala Lumpur dipenuhi dengan tugu-tugu manusia!’ Memang agak menakutkan seandainya perkara tersebut berjaya direalisasikan oleh virus ini namun berita baik untuk spesis kita, virus ini hanya menjangkiti hos yang unik iaitu sejenis bakteria (Ameba). Tambahan lagi, berbeza dengan Medusa yang dikatakan berlegar di sekitar Mediterranean satu ketika dahulu, virus ini ditemui oleh pengkaji daripada Kyoto University dan Tokyo University of Science, di kolam-kolam air panas di Jepun.
Penemuan virus ini, yang telah diterbitkan dalam Journal of Virology awal tahun ini, merupakan satu penemuan yang menakjubkan untuk beberapa sebab. Salah satu sebab yang jelas adalah keupayaan virus ini untuk memaksa hosnya, Acanthamoeba castellanii, untuk membentuk cengkerang yang tebal dan keras yang meliputi hos tersebut sehingga ianya menjadi dorman.
Namun, dari perkspektif pengkaji dan komuniti sains, penemuan ini merupakan sesuatu yang sangat mengagumkan kerana Medusavirus adalah sejenis virus yang sangat sangat besar, tergolong dalam kumpulan keluarga besar yang dikenali sebagai kumpulan virus-virus gergasi, khsususnya varian Nucleocytoplasmic large DNA viruses (NCLDVs). Sesetengah daripada virus dalam kumpulan ini mempunyai saiz yang lebih besar daripada bakterium biasa dan untuk seketika di awal penemuannya, saintis menyangkakan mereka ini adalah bakteria. Pemahaman dan penemuan sebenar virus-virus gergasi hanya betul-betul bermula pada permulaan abad ke-21 namun virus-virus ini terus-menerus mengejutkan para pengkaji dengan mengaburkan sempadan antara zarah-zarah berunsur virus dan jugal kehidupan berunsur sel.
Daripada kajian makmal, para pengkaji mendapati bahawa hos virus ini mempunya kod genetik kepada hampir semua homolog milik Medusavirus dalam genomnya termasuk untuk protein capsid utama virus tersebut. Ini bermaksud, terdapat kemungkinan bahawa interaksi antara kedua-dua pihak ini telah berlaku sejak zaman purba dan mereka telah bertukar-tukar maklumat genetik sejak permulaan zaman Cambrian. Kenapa ini sangat luar biasa? Kerana interaksi unik antara virus dan hos seperti ini melontar soalan-soalan baru tentang asal-usul kehidupan, evolusi organisma Eukaryotik dan juga pemahaman asas kita tentang apa itu virus.
Adakah virus ini benda hidup? dan hipotesis yang lebih mencabar dan provokatif – Adakah virus-virus ini berasal daripada sel?
Ianya sangat menyeronokkan untuk membayangkan bahawa kewujudan virus mempengaruhi kelahiran organisma Eukaryotik purba dan saintis bercadang untuk terus mengkaji virus yang baru ditemui ini dengan harapan untuk membongkar sejarah evolusi virus dan sel.
Disebabkan kelainan yang dizahirkan oleh Medusavirus ini, ianya dianggap sebagai NCLDV yang unik, yang menyimpan rahsia dan tinggalan purba interaksi antara hosnya dan memberi petunjuk kepada evolusi NCLDV, organisma Eukaryotik, dan interaksi virus-hos. Melihat kepada perbezaan virus ini berbanding virus NCLD yang lain, para pengkaji mencadangkan agar ianya dikelaskan dalam keluarga yang baru – Medusaviridae.
Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.